Penganalisis: 3 cabaran menanti pengerusi PH negeri

Jeniri-Amir-pakatan-harapan-bendera-logo-malaysiaPETALING JAYA: Seorang penganalisis politik menyifatkan barisan pengerusi Pakatan Harapan (PH) setiap negeri yang diumumkan semalam ialah strategi baik untuk memberi keyakinan kepada rakyat menjelang pilihan raya umum ke-14.

Prof Madya Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak bagaimanapun berkata, pengerusi negeri bagi gabungan 4 parti pembangkang itu akan berdepan 3 cabaran dalam persiapan untuk menghadapi PRU14.

“Tetapi, tidak mudah sebenarnya nak mencabar BN sebagai penyandang, walaupun BN dilihat mempunyai isu besar di peringkat nasional, termasuk isu Felda, tetapi mereka mempunyai kekuatan tersendiri dari segi kewangan.

“Dari segi wang ini merupakan perkara utama dalam pilihan raya. Dan sebagai kerajaan yang memerintah sekarang, mereka dapat melakukan apa sahaja dari segi dasar dan janji-janji yang dapat dilaksanakan menjelang pilihan raya,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Semalam, PH mengumumkan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengetuai jentera gabungan pembangkang itu di Kedah, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Johor dan Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa di negeri pantai timur itu.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali pula dilantik sebagai pengerusi Selangor dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selaku menerajui Pulau Pinang.

Pengerusi DAP negeri, Chong Chieng Jen mengetuai gabungan pembangkang itu di Sarawak, Pengerusi PKR negeri, Christina Liew di Sabah, Ketua PPBM negeri, Ahmad Faizal Datuk Azumu di Perak dan Pengerusi Amanah negeri, Adly Zahari di Melaka.

Sementara itu, Pengerusi Amanah negeri, Datuk Raja Kamarul Bahrin memimpin Terengganu, Pengerusi PKR negeri, Datuk Fauzi Rahman di Pahang, Pengerusi PKR negeri, Aminuddin Harun di Negeri Sembilan, Ketua PPBM negeri, Ameir Hassan di Perlis dan pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai di Wilayah Persekutuan.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata, PH sukar menandingi kekuatan BN dari segi jentera akar umbi mereka.

“Sukar ditandingi Pakatan Harapan. Cabaran yang besar…walaupun persaingan itu sengit, tetapi dengan apa yang berlaku dalam kalangan parti pembangkang sekarang, dengan PAS tidak bersama Pakatan Harapan, saya fikir itu merupakan hambatan utama.”

Beliau turut tertanya-tanya bagaimana pengerusi PH setiap negeri menggembleng tenaga dan menyatukan 4 parti pembangkang itu di peringkat negeri.

“Ke-2 ialah sejauh mana mereka dapat mewujudkan jentera pilihan raya yang ampuh dan berkesan menjelang pilihan raya nanti.”

Katanya, cabaran ke-3 dihadapi pengerusi negeri ialah mencari kaedah bagi menarik sokongan pengundi atas pagar dan golongan muda untuk mengundi PH.

Pakatan Harapan umum barisan ketua negeri