Rafizi nafi diberi amaran kerana dedah kemelut dalaman PKR

rafizi-pkr

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menafikan laporan mendakwa Biro Politik parti itu memberi amaran lisan kepadanya setelah mendedahkan perbalahan dalaman parti.

“Tidak betul semua ini, tetapi saya akan berikan kenyataan penuh esok,” katanya ringkas ketika dihubungi FMT.

Rafizi mengulas laporan Sin Chew Daily yang memetik sumber sebagai berkata, Biro Politik PKR memberi amaran keras kepada Rafizi kerana merosakkan nama baik parti itu.

“Berdasarkan nasihat (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, parti hanya memberi amaran lisan kepada Rafizi ketika ini. Jika beliau terus berdegil, tiada orang boleh menjamin beliau tidak akan dipecat kelak,” kata sumber yang dipetik akhbar itu.

Sabtu lalu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali mengakui berunding dengan PAS, tetapi mendakwa ia dibuat berdasarkan keputusan parti, bukan atas kapasiti peribadi.

Menteri besar Selangor itu berkata, rundingan itu bagi mengelakkan pertandingan 3 penjuru di Selangor dan meningkatkan peluang kemenangan PKR dan parti pembangkang lain.

Ia disusuli kenyataan Rafizi pada Selasa lalu yang mendedahkan wujud kemelut serius dalam kalangan Biro Politik PKR.

Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa pemimpin atasan yang menganggotai Biro Politik PKR berkuasa menentukan hala tuju parti sering tidak sealiran, malah keputusan yang dicapai juga tidak dihormati.

Katanya, keadaan itu berlaku sejak Anwar dipenjarakan pada Februari 2015.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan hari ini turut menegaskan tiada tindakan disiplin seumpama itu dibuat Jawatankuasa Disiplin parti pada mesyuarat Biro Politik lalu.

Beliau berkata, laporan itu tidak benar dan menasihatkan media menghubungi sumber parti yang sah bagi mendapatkan berita.

“PKR tidak akan hilang fokus dalam persiapan pilihan raya dan saya menggesa semua anggota parti menggembleng tenaga mengukuhkan parti dan tidak bermain dengan khabar angin bertujuan mengadu dombakan (ahli parti).”

Rafizi sebelum ini menamakan Tian Chua, Shamsul Iskandar Md Akin, Xavier Jeyakumar, Dr Shaharuddin Badaruddin, Zuraida Kamaruddin, R Sivarasa, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Fahmi Fadzil antara pemimpin yang menyokong rundingan dengan PAS.

Manakala Ahli Parlimen Selayang, William Leong, Saifuddin Nasution, Nik Nazmi Nik Ahmad, Datin Paduka Tan Yee Kew, Syed Ibrahim Syed Noh, Datuk Johari Abdul, Sim Tze Tzin dan Fariz Musa menentang rundingan itu.

Leong mengumumkan peletakan jawatan dalam Biro Politik, pada Rabu minggu lalu kerana tidak bersetuju dengan rundingan itu.

Rafizi turut mencadangkan kongres khas diadakan untuk menghentikan kekeliruan di kalangan ahli akar umbi.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/highlight/2017/08/29/rafizi-dedah-kepincangan-dalam-pkr-selepas-anwar-dipenjara/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/09/01/laporan-biro-politik-pkr-beri-amaran-kepada-rafizi/