Bekas ketua Asean: Pendidikan terhad bentuk pemikiran cetek umat Islam

Surin-Pitsuwan-islam,KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha agung Asean, Tan Sri Dr Surin Pitsuwan berkata, bentuk pendidikan terhad dan terbatas membentuk pemikiran cetek di kalangan umat Islam.

“Terdapat penekanan terhadap mesej fundamentalis yang ia perlu ditafsir dalam satu cara dan tiada cara lain.

“Saya tidak fikir itu ialah semangat Islam. Semangat Islam ialah membenarkan individu dengan kebijaksanaan sendiri, membuat keputusan dalam sesetengah isu berdasarkan semangat Islam.”

Beliau berkata, apabila ditafsirkan betul-betul, iaitu pendekatan fundamentalis, wujud kecenderungan mengehadkan pemikiran dan ruang dalam interaksi dengan dunia.

“Dunia ialah ruang yang pelbagai. Semua orang ialah minoriti dalam dunia ini. Kita tidak hidup bersendirian di planet ini. Jika cara kita adalah satu-satunya jalan eksklusif daripada jalan lain, maka itu akan menjadikan kita sebuah pulau.

“Sebuah pulau yang tidak selamat dan kurang keyakinan untuk berinteraksi dengan dunia,” katanya kepada FMT.

Surin yang juga bekas menteri luar Thailand berada di Kuala Lumpur untuk Persidangan Serantau mengenai Demokrasi di Asia Tenggara, anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Yayasan Kofi Annan hari ini.

Beliau memberi amaran pemikiran itu akan mewujudkan keadaan saling tidak percaya dan kemungkinan berlaku ketidakstabilan di Malaysia serta negara lain.

“Dan itu bukan sahaja di Malaysia, tetapi mana-mana negara yang mempunyai komuniti berbilang kaum.

“Satu-satunya cara ialah toleransi, saling menghormati dan memberi ruang kepada satu sama lain untuk melaksanakan misi mereka bagi membentuk sebuah masyarakat baik.”

Katanya, rakyat perlu mematuhi undang-undang digubal kerajaan supaya semua dapat hidup dengan aman.

Pertumbuhan ekonomi

Beliau berkata, ekonomi negara bergantung kepada kestabilan politiknya.

“Tetapi, jika ruang politik terbatas dan tiada jaminan keselamatan, maka akan wujud implikasi terhadap ekonomi.

“Akhirnya, struktur politik perlu betul dan dengan adanya suasana sesuai, ekonomi akan terus berkembang. Tetapi, tanpanya pertumbuhan ekonomi akan terjejas.”

Beliau berkata, sehingga 1980-an, Islamisasi ialah perkataan baik di mana rakyat menggabungkan nilai dan norma Islam dalam setiap aspek kehidupan mereka, termasuk dalam pendidikan, pekerjaan dan pembangunan ekonomi.

Bagaimanapun, katanya, kini makna itu berubah menjadi lebih terhad, kurang toleransi dan merumitkan usaha mentadbir negara berbilang kaum seperti Malaysia dan negara lain di dunia Islam.

“Islamisasi serupa dengan politik perkauman yang bukannya mesej asas Islam. Islam perlu menjadi satu mesej muhibah dan rahmat bagi semua manusia.

“Kami (umat Islam) dalam bahaya untuk menjadi masyarakat yang hanya mementingkan diri, kurang toleransi dan tidak menghormati orang lain. Ini tidak baik untuk sesiapa pun.”

Surin berkata, pendidikan ialah tindak balas terhadap rasa tidak yakin untuk menjadi lebih “inward” dan kurang toleransi.

Katanya, selepas 3 hingga 4 dekad “perindustrian dan pembangunan sangat pesat, rakyat hilang kawalan ke atas kehidupan mereka. Mereka rasa tidak selamat dengan norma dan nilai tradisi serta kehidupan mereka terjejas.”

Sehubungan itu, katanya, ada keperluan untuk kembali kepada asas bagi mendidik rakyat menjadi relevan kepada masyarakat dengan melihat situasi itu dalam konteks proses pembangunan.

“Mereka perlu melihat kepada interaksi dengan komuniti Asean lain dan dunia.”