Polis: Letupan bom di Kota Damansara bukan serangan IS

molotov-3

PETALING JAYA: Seorang pekerja Bangladesh cedera dalam letupan yang dipercayai berpunca daripada bom petrol dilemparkan ke sebuah pusat hiburan di Kota Damansara, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zaini Che Din menolak kemungkinan serangan itu ialah serangan pengganas, sebaliknya ia mungkin bertujuan mengugut pemilik premis terbabit.

“Kejadian itu berlaku pada jam 4.15 petang dan kita dapati 2 bom molotov cocktail berisi petrol dilemparkan di depan pintu masuk kelab malam tersebut.

“Dua suspek dipercayai terlibat dalam kejadian itu yang menyebabkan pekerja Bangladesh itu cedera di tangan dan kepala.

“Kita lihat kes ini daripada setiap sudut dan pemilik premis dipercayai diugut sebelum ini untuk wang perlindungan. Kes ini tidak melibatkan serangan IS,” katanya pada sidang media di tempat kejadian.

Pada 28 Jun 2016, 8 orang cedera dalam serangan bom tangan di pub dan restoran Movida, Puchong.

Mengulas lanjut, Zani berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat menyebabkan kerosakan serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh.

Katanya, polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup di sekitar premis itu.

“Suspek dipercayai menggunakan kereta jenis Audi berwarna hitam dan kita berjaya dapat nombor pendaftaran kereta terbabit.”