Pusat rawat penagih dadah diheret ke mahkamah oleh anak syarikat Khazanah

yunus-pathiKUALA LUMPUR: Sebuah badan bukan kerajaan yang membantu penagih dadah mengikis tabiat mereka kini berdepan tindakan mahkamah selepas diarahkan berpindah daripada tanah yang didiami sejak 30 tahun di sini, susulan keputusan sebuah syarikat berkait firma milik kerajaan Khazanah Nasional.

Persatuan Pengasih Malaysia menduduki tanah seluas 11.5 ekar di Bukit Tunku, di mana 3.5 ekar adalah milik STLR Sdn Bhd, anak syarikat milik Khazanah Nasional.

Baki 8 ekar tanah yang menempatkan dewan, surau, dan asrama penghuni Pengasih dimiliki kerajaan.

Presiden Pengasih, Datuk Mohd Yunus Pathi berkata STLR sebelum ini berjanji memberikan lokasi baharu di Bentong, Pahang seluas 14 ekar dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

“Tetapi apabila kami melawat tanah itu, kawasannya belum selamat diduduki termasuk terdapat binatang liar sepeti babi hutan dan anjing yang berkeliaran. Ia tidak selamat untuk penghuni Rumah Pengasih,” katanya ditemui pemberita di Rumah Pengasih.

Yunus berkata kawasan baharu itu kerap dilanda tanah runtuh dan juga tidak berpagar.

Menurutnya, STLR mula menuntut tanah yang diduduki Rumah Pengasih sejak 2005, tetapi pusat rawatan penagih dadah itu dibenarkan kekal di situ selepas rayuan dikemukakan kepada Pejabat Perdana Menteri.

“Kami tidak mempunyai masalah untuk berpindah tetapi kami perlu melengkapkan prasarana dan fasiliti di Bentong terlebih dahulu,” katanya.

Yunus berkata, Pengasih memerlukan kira-kira RM14 juta untuk tujuan tersebut.

Ekoran keengganan berpindah, Rumah Pengasih kini diheret ke mahkamah oleh STLR.

Pusat rehabilitasi dadah ini pernah merawat beberapa individu terkenal yang terlibat ketagihan, termasuk penyanyi Datuk Jamal Abdillah dan Radhi OAG.

Hari ini, Rumah Pengasih mempunyai kira-kira 100 penghuni melawan ketagihan dadah.