Polis syaki letupan bom di Kota Damansara sasar pengusaha lama

Mohd-Zaini-Che-Din

PETALING JAYA: Polis tidak menolak kemungkinan letupan bom di sebuah kelab malam di Kota Damansara pada Isnin menyasarkan pengusaha terdahulu yang pernah terbabit dalam pertikaian perniagaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zaini Che Din dipetik Sin Chew Daily berkata, siasatan polis mendapati pengusaha kelab malam sedia ada baru mengambil alih perniagaan itu kira-kira 8 bulan lalu.

“Polis masih menyiasat motif 2 suspek melontar bom petrol, pada peringkat awal kami syaki mereka menyasarkan pengusaha lama.”

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai tidak mempercayai khabar angin kononnya kes itu ada kaitan dengan serangan IS di sebuah pusat hiburan Puchong, tahun lalu.

Zaini berkata, kamera litar tertutup berjaya merakam proses bom petrol meletup, malangnya wajah 2 suspek terbabit tidak kelihatan.

Katanya, pengawal keselamatan di pusat perniagaan itu tidak nampak letupan terbabit atau mana-mana individu disyaki dan pekerja Bangladesh yang cedera kini dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, beliau berkata, polis sudah memperoleh petunjuk dan yakin dapat menahan 2 suspek itu dalam masa terdekat untuk membantu siasatan.

Pada 4.15 petang Isnin lalu, seorang warga Bangladesh cedera dalam letupan yang dipercayai berpunca daripada bom petrol dilempar ke pintu masuk sebuah kelab malam di Kota Damansara.

Kelmarin, Zaini dilaporkan menolak kemungkinan serangan itu dilakukan pengganas, sebaliknya ia mungkin bertujuan mengugut pemilik premis terbabit.

Pada 28 Jun 2016, 8 orang cedera dalam serangan bom tangan di pub dan restoran Movida, Puchong.

Polis: Letupan bom di Kota Damansara bukan serangan IS