Saya diberitahu urus niaga forex rugi RM9.3 bilion, kata Anwar

anwar-bnmPUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerugian perdagangan mata wang asing (forex) yang dialami Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM9.3 bilion berdasarkan surat Timbalan Gabenor bank pusat itu, Tan Sri Lin See Yan yang bertarikh 1 April 1993.

Anwar yang juga saksi ke-21 Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian perdagangan forex BNM sekitar 1990-an berkata, kerugian itu kemudiannya dimaklumkan kepada Kabinet dan Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak tahu berapa banyak kerugian dialami BNM daripada perdagangan forex selepas itu.

“Saya tidak diberitahu berapa banyak kerugian daripada perdagangan hadapan. Apabila saya memberitahu mereka untuk berhenti, mereka mahu ‘unwind positions’. Ia menyukarkan saya,” katanya ketika memberi keterangan hampir 3 jam kepada RCI itu di Istana Kehakiman hari ini.

Beliau tiba pada jam 8.40 pagi tadi dan memasuki bilik bicara pada jam 2.05 petang.

RCI itu diketuai Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang turut mempengerusikan pasukan petugas khas menyiasat kerugian forex dialami BNM, yang ditubuhkan pada Februari lalu.

Untuk rekod, peguam mewakili Anwar dan Dr Mahathir sebelum ini memfailkan permohonan di mahkamah dalam usaha menyingkirkan Sidek dan Tan Sri Saw Choo Boon yang turut menganggotai pasukan petugas khas itu – dengan alasan mereka akan berat sebelah.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Dr Mahathir untuk menggugurkan kedua-duanya dengan alasan prosiding RCI itu membabitkan kepentingan umum.

Semalam, bekas penolong gabenor BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang terbabit secara langsung dalam urus niaga forex mengakui tidak pernah memaklumkan serta berbincang dengan perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu mengenai perkara berkenaan.

Beliau merujuk perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad serta 2 menteri kewangannya, Tun Daim Zainuddin (1984-1991) dan Anwar (1991-1998).

Prosiding hari ini merupakan sesi ke-6 RCI bagi menyiasat kerugian BNM melalui perdagangan forex sekitar 1990-an.

Nor Mohamed akui tak maklum urus niaga forex kepada Dr M