Dr M: Masa saya jadi PM, tak ramai menteri rasuah

mahathir-bribe

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa tidak ramai penjawat awam atau menteri terbabit dengan rasuah sepanjang beliau menerajui negara selama 22 tahun.

Ini kerana, kata bekas perdana menteri itu, penjawat awam tahu tindakan akan diambil terhadap mereka yang mengamalkan cara hidup mewah.

“Di masa saya menjadi perdana menteri, tidak ramai yang terlibat (rasuah) kerana mereka tahu tindakan akan diambil terhadap mereka.

“Dan kita tahu ini dari segi cara hidup mereka. Kalau mereka hidup terlalu mewah, tindakan akan diambil,” katanya dalam wawancara bersama CNN Indonesia yang dimuat naik ke YouTube hari ini.

Dalam wawancara hampir 50 minit itu, pengerusi Pakatan Harapan itu turut mempertahankan dasar penswastaan ketika pentadbirannya yang didakwa menguntungkan kroni.

Beliau berkata, kronisme ialah perkataan yang diperkenalkan apabila sebuah negara maju dan ada pihak yang mendapat manfaat daripada pembangunan negara.

“Maka dia dicap sebagai kroni. Tetapi kalau dia gagal, dia tak jadi kroni. Sebab itu, kalau kita nak tentukan tidak ada tuduhan kronisme, kita mesti tentukan semua sektor swasta gagal dan kita akan menderita, kalau semua sektor swasta gagal.

“Ini dicipta oleh kuasa-kuasa barat, akhbar-akhbar dari barat untuk mengkritik negara yang merdeka. Baru merdeka…yang boleh bangunkan negara mereka lebih cepat daripada zaman mereka dijajah.”

Pada masa sama, beliau mengakui pernah membantu individu yang mempunyai kemampuan dan prospek dalam perniagaan dijalankan mereka.

“Kalau kita bagi RM1 juta kepada seorang penarik beca, tak mungkin dia dapat kemajuan kerana dia tak mempunyai pengetahuan, kecekapan dalam bidang perniagaan.

“Kita tolong orang yang sudah berjaya dalam sektor swasta dan kita suka dia lebih berjaya kerana keuntungan dia sebahagian besar dimiliki kerajaan,” katanya.