Syerleena lapor polis selepas dituduh serang institusi Islam

Syerleena-Abdul-Rashid

PETALING JAYA: Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP Syerleena Abdul Rashid membuat laporan polis berhubung siri muatnaik media sosial yang cuba menggambarkan beliau musuh Islam.

Syerleena memberitahu FMT beliau dimaklumkan mengenai muatnaik terbaharu hari ini dan oleh itu beliau membuat laporan di Balai Polis Jalan Patani, George Town, Pulau Pinang pada 10.30 pagi tadi.

Setiausaha Publisiti Wanita DAP Josephine Tan dan pembantunya Gueny Koay menemani beliau ke balai polis.

“Sebagai seorang Islam, saya sangat tersinggung ada pihak memfitnah saya seperti itu,” katanya.

“Mereka yang berterusan menyebarkan pembohongan dan menggunakan propaganda politik seperti itulah musuh Islam.

“Saya tak pernah buat kenyataan seperti itu dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang didakwa poster itu. Saya harap polis dan Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia akan menjalankan siasatan tanpa prejudis dan mengambil tindakan segera terhadap pelaku.”

Syerleena berkata serangan terhadapnya bermula Mac apabila 2 laman Facebook menuduh beliau “akan serang institusi Islam”.

Poster itu dimuatnaik oleh akaun “Johny Wick”, dan oleh laman “Darul Ehsan Leaks” yang diikuti kira-kira 17,000 pengikut.

“Johny Wick” memuatnaik gambar Syerleena di majlis angkat sumpah ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang, dengan ayat “saya bersumpah akan serang institusi Islam khususnya Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) demi DAP” tertera padanya.

Muatnaik oleh “Darul Ehsan Leaks” memaparkan kolaj gambar Syerleena dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, bersama ayat yang sama.

Syerleena memfailkan laporan polis mengenai perkara itu dan memberitahu FMT Darul Ehsan menurunkan muatnaik tersebut selepas polis memulakan siasatan.

Kemudian, pada 28 Ogos, beliau menerima satu lagi muatnaik dengan ayat “saya akan berjuang agama rasmi Malaysia akan ditukarkan kepada agama Kristian agama rasmi Malaysia selepas PRU-14” muncul di media sosial.

Syerleena berkata pelbagai usaha sudah dibuat untuk melawan dakwaan itu melalui penafian di laman Facebook dan WhatsApp.

Catatan terbaru pula memaparkan kapsyen “kenapa perkara sebegini boleh terjadi di negara kita, Malaysia? Sebab ada orang yang faham agama, faham Al-Quran tapi pandangan yang mereka keluarkan mengelirukan masyarakat”.

“Saya akan bertemu dengan peguam esok untuk membincangkan langkah seterusnya,” kata Syerleena.

Beliau berkata hakikatnya parti politik atau pertubuhan politik “akan menggunakan bentuk propaganda terburuk” apabila mereka kehilangan pengaruh dalam masyarakat.

Beliau memberi amaran amalan politik seperti itu sangat merbahaya.

“Menggunakan agama untuk mengelirukan orang ramai boleh membinasakan kerana ia akan melahirkan kebencian dan ekstremisme agama.”