NCWO: Perkahwinan kanak-kanak tiada kaitan dengan agama

child_wedding2KUALA LUMPUR: Perkahwinan kanak-kanak bukan sebahagian daripada agama, tetapi wujud kerana sesetengah pihak menggunakan agama untuk mempertahankan tradisi kuno itu, demikian menurut ahli Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Dr Sharifah Syahirah Syed Sheikh.

Menurut beliau, dalam kebanyaka kes gadis yang secara tidak sengaja hamil terpaksa bernikah bukan kerana atas alasan ekonomi, tetapi demi maruah keluarga.

Beliau berkata walaupun maruah adalah sesuatu yang tidak kelihatan, tetapi sangat penting dalam keluarga konservatif.

Bagaimanapun tegas Sharifah Syahirah, isu itu bukan hanya terhad kepada masyarakat Melayu.

“Malah di Amerika Syarikat, apa kes rogol berlaku atau apabila anak luar nikah lahir, gadis terbabit ditekan untuk mendirikan rumah tangga.

“Dari segi agama, jika kita melihat fenomena di seluruh dunia, perkahwinan kanak-kanak bukanlah kerana agama.

“Jika ada yang menggunakan agama untuk mempertahankan perkahwinan kanak-kanak, saya fikir mereka hanya menyalahgunakan agama untuk mempertahankan tradisi kuno,” kata beliau dalam forum mengenai hak-hak anak hari ini.

Kata beliau, ia juga terbukti dalam kaji selidik berskala kecil yang dilakukannya membabitkan 300 responden pada 2014, meliputi Kuala Lumpur, Perak, Johor dan Selangor.

Menurut beliau, majoriti responden tidak bersetuju dengan tanggapan ajaran agama (68%) dan keperluan agama (59%) adalah sebab di sebalik perkahwinan kanak-kanak.

Pensyarah kanan Kolej Universiti Poly-Tech Mara ini menambah, kira-kira 67% daripada responden bersetuju peningkatan dalam hubungan seks sebelum kahwin adalah sebab di sebalik perkahwinan kanak-kanak.

Perbahasan mengenai perkahwinan kanak-kanak, menurut beliau lagi, menjadi isu panas bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di Amerika Syarikat.

“Menurut Social Mention, aplikasi yang digunakan untuk mengesan topik-topik yang dibahaskan di media sosial, isu perkahwinan kanak-kanak dibahaskan setiap 2 minit,” kata beliau.

Dianggarkan seramai 11,400 kanak-kanak bawah 15 tahun telah berkahwin, di mana 6,800 adalah perempuan dan bakinya adalah lelaki.

Menurut perangkaan yang disediakan semasa forum hari ini, terdapat sebanyak 10,240 perkahwinan kanak-kanak melibatkan gadis Islam bawah umur antara tahun 2005 dan 2015 di Malaysia.

Mengikut negeri, Kelantan dan Sabah mendahului senarai itu dengan hampir 10% daripada perkahwinan kanak-kanak yang direkodkan. Kelantan mencatat 5.4% manakala Sabah 4.34% daripada 10,240 kes.