Keputusan DNA 23 mangsa kebakaran tahfiz tidak sampai 24 jam

dusuki-dna

KUALA LUMPUR: Tidak sampai 24 jam keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas 23 mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung dapat diketahui.

Ia lebih awal daripada tempoh masa yang dijangkakan sebelum ini apabila keputusan DNA itu dijangka akan dikeluarkan paling awal 3.30 petang hari ini.

“Saya rasa mungkin dalam sejarah dapat selesai DNA ini tidak sampai 24 jam,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

“Keputusan DNA tadi semua sekali selesai 11.30 sebelum jumaat,” katanya kepada pemberita selepas mengimamkan solat jenazah di Surau Kuarters Hospital Kuala Lumpur.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan keputusan paling awal ujian DNA ke atas 23 mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung pada pukul 3.30 petang esok.

Asyraf berkata jenazah pertama yang diuruskan oleh pasukan khas Jabatan Perdana Menteri pada pukul 3.40 petang.

“Selepas kita uruskan kertas kerja dengan pihak keluarga, jenazah pertama kita selenggara di sini pada sekitar pukul 3.40 petang.

“Jenazah terakhir keluar dalam pukul 6.00 petang. Semua sekali ini selesai diselenggara jenazah

“Dan semua bergerak di 11 lokasi yang berbeza mengikut kehendak waris. Yang paling ramai sekali di tanah perkuburan Raudhatul Sakinah seramai 11 orang dan yang paling jauh Pengkalan Kubur, Tumpat (Kelantan),” katanya.