Muhyiddin: Anina beritahu dia tiada wang, tiada kerja

muhyiddin-anina (1)PUTRAJAYA: Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempertikaikan alasan yang diberikan pengasas bersama parti itu, Anina Saadudin, apabila mahu meninggalkan parti itu baru-baru ini.

Beliau berkata Anina memaklumkan hasrat meletakkan keahlian PPBM sebelum ini. Bagaimanapun, beliau mendakwa alasan yang diberikan Anina berbeza dengan apa yang diberitahu kepada media semasa mengumumkan peletakan keahlian secara rasmi pada Sabtu.

“Sebenarnya kenyataan yang dibuat tidak berapa tepat kerana beliau pernah datang berjumpa saya beberapa bulan lalu menyatakan hasrat untuk berhenti dan mungkin keluar daripada parti.

“Saya tanya apakah sebab begitu. Dia kata dia menghadapi masalah yang cukup banyak. Sudah tidak ada duit, tidak ada kerja. Tidak ada sebut soal berkaitan dengan sikap saya, atau Tun (Dr Mahathir Mohamad) atau mana-mana pemimpin,” katanya.

Muhyiddin bercakap kepada pemberita di luar Istana Kehakiman hari ini.

Anina pada Sabtu berkata beliau mengambil keputusan untuk keluar daripada parti yang beliau tubuhkan bersama pengasas lain kerana layanan pimpinan lain terhadapnya, termasuk Muhyiddin.

Beliau meletakkan keahlian ketika beliau didakwa menerima RM7 juta daripada Umno oleh ahli parti sendiri.

Susulan dakwaan itu, Anina bertemu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 31 Julai supaya mereka boleh siasat sama ada beliau ada menerima wang daripada Umno.

Muhyiddin hari ini berkata Anina tidak menghadiri mesyuarat dan acara parti yang diadakan dalam beberapa bulan lalu.

“Ini adalah keputusan yang beliau buat sendiri, bukan masalah yang ada kaitan dengan kepimpinan, tetapi peribadi dia,” katanya.