Najib ‘tersenyum’ lihat RCI forex, kata Dr M

mahathir-najibPUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seharusnya dipanggil memberikan keterangan dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang menyiasat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) 1990-an, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, Najib semasa dalam Kabinetnya, turut bersetuju untuk menolak gesaan pemimpin pembangkang Lim Kit Siang yang mahu RCI diadakan untuk menyiasat kerugian yang dialami BNM akibat dagangan mata wang asing itu.

“Dia (Najib) seharusnya datang ke sini (untuk memberikan keterangan). Dia sepatutnya menjelaskan kenapa tidak bangkitkan isu ini, tetapi hanya bangkitkannya sekarang. Sebaliknya dia kini tersenyum melihat semua ini,” katanya kepada pemberita di Istana Kehakiman hari ini.

Pada 1993 dan 1994 di Dewan Rakyat, Kit Siang menggesa Dr Mahathir dan jemaah menteri agar mewujudkan RCI namun gesaan ditolak. Najib ketika itu menggalas portfolio pertahanan.

Siasatan RCI urus niaga matawang asing hari ini memasuki hari ke-7 dan masih berbaki 3 hari.

Dr Mahathir berkata, siasatan terhadapnya itu untuk mencipta persepsi beliau seorang kleptokrat.

“Kebanyakan soalan diajukan tidak fokus untuk mencari punca kehilangan wang dari urus niaga matawang asing. Ia hanyalah burukkan imej saya di mata masyarakat bahawa wang RM30 bilion ringgit sudah hilang,” katanya.

Dr Mahathir merupakan saksi ke-24 dalam RCI yang ditugaskan untuk mengkaji kerugian yang dialami BNM akibat dagangan mata wang asing yang mencecah AS$10 bilion (atau RM25 bilion berdasarkan kadar tukaran ketika itu) antara 1991 dan 1993.

Beliau menyusuli beberapa saksi lain yang dipanggil seperti bekas menteri kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Daim Zainuddin; bekas gabenor BNM Tan Sri Ahmad Mohd Don dan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; bekas penasihat BNM Tan Sri Mohamed Yakcop; dan bekas peguam negara Tan Sri Ainum Mohamed Saaid.

Bekas perdana menteri yang berkhidmat selama 22 tahun itu merupakan saksi ke-24. Sebelum ini, beberapa saksi lain sudah dipanggil seperti Tun Daim Zainuddin, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Mahathir hari ini berkata tidak menolak ada beberapa perkara yang beliau terlepas pandang termasuk isu urus niaga matawang asing memandangkan beliau adalah manusia biasa.

“Ia seperti saya lantik orang yang salah selepas saya meletakkan jawatan. Kalau saya dapat lihat semua ini, sudah tentu tidak ada masalah,” katanya.

RCI berkenaan dipengerusikan Pengerusi Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Selain Sidek, individu yang menganggotai RCI ialah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Atan; dan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon.

Turut terlibat Ahli Institut Akauntan Malaysia K Pushpanathan dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Yusof Ismail, yang juga setiausaha suruhanjaya siasatan.