RCI forex untuk tekan pengkritik Najib, kata saksi terpenting

mahathir-najib2PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertikaikan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RC) di hadapan panel 5 anggota yang bersidang untuk menyiasat skandal yang berlaku di bawah pentadbiranya 25 tahun lalu.

Bekas perdana menteri itu berkata kronologi fakta mendedahkan penubuhan RCI tersebut untuk memberi tekanan kepada pengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan skandal 1MDB serta permasalahan lain.

“Setakat pengetahuan saya, segala permasalahan berkaitan isu tersebut telah pun ditangani oleh Bank Negara Malaysia dengan memperkenalkan pelbagai langkah kawal selia selepas daripada itu, secara khususnya dengan penggubalan Akta Bank Negara Malaysia 2009 dan peraturan tertentu di bawahnya.

“Walaupun sudah 25 tahun isu forex sudah berlalu dan dipercayai bukannya satu isu yang memerlukan perhatian atau membebankan masyarakat, namun secara tiba-tiba, bekas penolong gabenor BNM telah menyuarakan semula isu ini,” katanya di Istana Kehakiman Putrajaya hari ini.

Beliau berkata ekoran daripada kenyataan Datuk Abdul Murad Khalid, pentadbiran Najib dengan serta-merta membuat kenyataan mempertimbangkan atau mewajarkan penubuhan RCI itu.

“Najib Razak melalui ‘pembantu-pembantunya’ telah berjaya mewujudkan RCI ini dalam tempoh kurang dari 25 hari, secara tepat 19 hari sahaja,” tambahnya.

Dr Mahathir merupakan saksi ke-24 dalam RCI yang ditugaskan untuk mengkaji kerugian yang dialami BNM akibat dagangan mata wang asing yang mencecah AS$10 bilion (atau RM25 bilion berdasarkan kadar tukaran ketika itu) antara 1991 dan 1993.

Beliau menyusuli beberapa saksi lain yang dipanggil seperti bekas menteri kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Daim Zainuddin; bekas gabenor BNM Tan Sri Ahmad Mohd Don dan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; bekas penasihat BNM Tan Sri Mohamed Yakcop; dan bekas peguam negara Tan Sri Ainum Mohamed Saaid.

Dr Mahathir hari ini menyeru setiap seorang anggota panel RCI supaya berani untuk berbeza pendapat dan membuat keputusan peribadi, “jika keterangan yang ditampilkan dalam siasatan ini tidak membantu untuk mencapai keputusan sebulat suara”.

“Saya dengan ini berharap dan memohon bahawa kesemua anda yang budiman yang telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai pesuruhjaya akan melaksanakan tugas untuk mencari kebenaran di atas nama Agong dan membuat rekomendasi yang betul dan tepat tanpa mengambil pihak untuk membantu Najib merealisasikan niat jahatnya yang sebenar,” katanya.

“Tambahan pula, saya difahamkan rekod-rekod asal urus niaga mata wang asing tidak ditampilkan semasa siasatan oleh mana-mana saksi kerana perkara ini sudah 25 tahun berlalu,” tambahnya.

RCI berkenaan dipengerusikan Pengerusi Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Selain Sidek, individu yang menganggotai RCI ialah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Atan; dan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon.

Turut terlibat Ahli Institut Akauntan Malaysia K Pushpanathan dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Yusof Ismail, yang juga setiausaha suruhanjaya siasatan.