Peguam: Ketiadaan saksi penting penghalang siasatan forex

Gurdial-Singh-bnmPUTRAJAYA: Kegagalan mendapatkan 2 saksi utama untuk memberi bukti menjadi halangan besar kepada usaha Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat kerugian tukaran mata wang asing yang dialami Bank Negara Malaysia (BNM) kira-kira 25 tahun lalu, kata seorang peguam.

Gurdial Singh Nijar berkata perkara ini menjadi peringatan yang pihak berkuasa patut jalankan siasatan sejurus selepas sesuatu kegagalan berlaku supaya fakta kejadian segar dalam ingatan saksi.

Gurdial, yang mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pendengaran RCI, berkata, bekas gabenor BNM Tan Sri Jaafar Hussein dan bekas ketua audit negara Tan Sri Ishak Tadin 2 saksi penting yang boleh memberikan fakta kejadian.

“Bagaimanapun, Jaafar sudah meninggal dunia dan Ishak pulak tidak kompeten untuk memberi bukti kerana masalah kesihatan”, katanya kepada pemberita.

Pengerusi RCI Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebelum ini mengumumkan prosiding ditamatkan tanpa mendengar testimoni Ishak yang sepatutnya menjadi saksi terakhir.

Anak kepada Ishak, Rizal, berkata, ayahnya yang memegang jawatan ketua audit negara antara 1986 dan 1994 tidak dapat memberi keterangan kerana hilang ingatan.

Beliau berkata memori dan kemahiran berfikir bapanya lemah dan beliau tidak dapat mengingati fakta penting yang relevan kepada siasatan.

“Bapa saya mula mempunyai kelemahan kognitif pada 2007. Akibatnya, beliau tidak mampu ingat,” katanya.

Jaffar yang menjadi gabenor pada 1986 sehingga 1994 letak jawatan selepas bertanggungjawab ke atas kerugian itu dan meninggal dunia pada 1998.

Gurdial berkata hasil RCI akan menjadi cacat kerana banyak fakta kes tidak dapat disahkan menerusi 2 personaliti itu.

“Terdapat jurang besar pada rantaian bukti. Contohnya, kita tidak tahu tentang komunikasi antara Jaafar dan Anwar yang ketika itu menteri kewangan,” kata Gurdian yang hadir pada perbicaraan itu bersama peguam, Sivarasa Rasiah.

Gurdial berkata beliau hairan mengapa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed kini bersetuju mengadakan RCI atas kerugian forex, sedangkan beliau menolak perkara itu pada 1993 ketika beliau timbalan menteri kewangan.

Sementara itu, Sivarasa berkata prosiding RCI itu tidak adil kerana peguam yang mewakili pihak terlibat tidak diberikan dokumen penting.

“Bagaimana harus kita sediakan penyerahan terperinci untuk pertimbangan RCI apabila kita dinafikan fakta material dalam dokumen?” soalnya.

Sivarasa meramal Anwar akan menjadi salah seorang yang dipertanggungjawabkan dalam laporan itu.

“Kita tidak dapat pertikai sebarang dapatan tidak adil RCI itu kerana pengesyorannya tidak dapat diketepikan oleh prosiding kehakiman,” katanya

Sivarasa berkata mereka akan gunakan masyarakat awam untuk mencabar laporan itu.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata RCI itu diadakan dengan motif politik.

“RCI ini hanya satu pembaziran masa dan sumber awam untuk mempertimbang kejadian yang berlaku kira-kira 25 tahun lalu,” katanya

Haniff, yang mewakili bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kesalahan akan diletakkan pada Anwar dan bekas penolong gabenor BNM Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata, BNM sebagai badan autonomi, menjalankan aktiviti forex untuk menguruskan rizab luar dan mengukuhkan ringgit.

Katanya, kerugian itu dialami akibat cubaan melindungi ringgit daripada spekulator mata wang.

“Ini bukan kes seseorang mencuri wang untuk kepentingan peribadi,” katanya lagi.