Selepas 25 saksi, 42 dokumen, siasatan RCI forex tamat

tan-sri-Mohd-Sidek-Hassan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) berakhir hari ini selepas mendengar keterangan 25 saksi.

Bekas ketua audit negara, Tan Sri Ishak Tadin merupakan saksi terakhir hari ini, tetapi atas masalah kesihatan, beliau diwakili anaknya yang memaklumkan kepada RCI bapanya menghadapi masalah mengingat semula apa yang terjadi lebih 2 dekad lalu.

Pengerusi RCI, Tan Sri Sidek Hassan hari ini memberi masa sehingga 5.00 petang pada 21 September kepada peguam dan pegawai pengendali untuk menyerahkan hujahan bertulis mengenai RCI.

Sebanyak 42 dokumen diteliti dan 25 keterangan saksi didengarkan dalam 9 sesi RCI.

Laporan penuh RCI itu akan diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong pada 13 Oktober.

Sementara itu, Sidek menolak permintaan permintaan peguam Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memanggil semula bekas penolong gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid, ke kandang saksi.

Murad selaku saksi ketiga sebelum ini memberi keterangan dalam siasatan kerugian BNM sebanyak RM31.516 bilion pada 1991 hingga 1994.

Permintaan peguam Dr Mahathir, Haniff Khatri Abdulla untuk membuat laporan polis terhadap Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Mohd Puad Zarkashi dianggap tidak perlu, selepas Puad berkata bekas penasihat gabenor BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, cuba melindungi Dr Mahathir.

Sidek pada masa sama mempertahankan kenyataannya di awal siasatan RCI yang membuat kesimpulan BNM telah rugi sebanyak RM31.5 bilion.

“RCI akan membuat kesimpulan muktamadnya. Semasa siasatan, beberapa angka muncul.

“Sama ada ia berbeza daripada kesimpulan pertama, isu ia dikeluarkan tidak timbul. Kami akan membuat kesimpulan muktamad apabila kami menyerahkan laporan dan cadangan kepada Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad ke-V,” katanya.

Sebelum ini, Anwar menyelar Sidek yang menurutnya sudah membuat kesimpulan awal mengenai jumlah sebenar kerugian.

RCI ditugaskan menyiasat kerugian forex sebanyak AS$10 bilion (kira-kira RM25 bilion berdasarkan kadar tukaran mata wang pada masa itu) yang dialami Bank Negara antara 1991 dan 1993.

Dakwaan skandal itu berlaku semasa Dr Mahathir berkhidmat sebagai perdana menteri, ketika Daim dan Anwar memegang jawatan menteri kewangan (1991-1998).

Saya tak tahu BNM jalankan urus niaga forex, kata Dr M