11 lanun Indonesia dipenjara 16 tahun kerana rompak kapal

pirate

KUALA TERENGGANU: Sebelas “lanun zaman moden” dihukum penjara 16 tahun oleh 2 Mahkamah Sesyen berasingan hari ini setelah mengaku bersalah merompak sebuah kapal tangki minyak awal bulan ini.

Semua warga Indonesia itu diperintah menjalani hukuman tersebut bermula tarikh ditangkap antara 6 dan 7 September lalu, manakala 6 daripada mereka turut dijatuhi hukuman 5 sebatan.

Sepuluh tertuduh berusia 31 dan 59 tahun itu yang didakwa di depan Hakim Rofinah Mohamad adalah Anne Raja, Arsito Mohd Hardi, Kreston Muhaling, La Abu, Bram Ali, Luther Marnis Zachawerus, Badiun, Meidy Hermanus Wajongkere, Rollan Kapahese dan Oktemi Supri.

Mereka didakwa bersama 3 lagi yang masih bebas melakukan rompak berkumpulan terhadap kapal MT MGT-1 milik syarikat Marine Global Transport berpangkalan di Thailand sehingga mendatangkan kerugian dan ketakutan terhadap 14 kru kapal tersebut menggunakan pisau dan parang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di perairan Terengganu pada 8.30 malam 6 September lalu.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan mereka mempunyai tanggungjawap terhadap keluarga di Indonesia dan menyesal atas perbuatan mereka.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahah Mohd Suah membantah rayuan tersebut ekoran tindakan tertuduh yang mampu mendatangkan pelbagai ancaman terhadap mangsa dan negara.

“Faktor mitigasi (rayuan) bersifat peribadi dan seharusnya tertuduh memikirkannya terlebih dahulu sebelum melakukan rompakan. Tertuduh merupakan lanun zaman moden yang masih ada sehingga kini,” katanya.

Sebelum menjatuhkan hukuman, hakim berkata, hukuman yang dikenakan itu bertujuan memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam kerana perbuatan mereka mampu menjejaskan keselamatan negara dan mereka sepatutnya bersyukur kerana senjata api tidak dijumpai.

Katanya, sekiranya terdapat bukti penggunaan senjata api, mereka boleh meringkuk dalam penjara seumur hidup dan rompakan terancang itu tidak akan berulang.

Sementara itu, seorang lagi warga Indonesia, Heinrick Piterson Parera didakwa di depan Hakim Mohammad Haidar Abdul Aziz, bersubahat bersama 3 lagi yang masih bebas melakukan rompakan sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ghazrin Budget Hotel Sdn Bhd, Larkin, Johor pada 8.30 malam, 6 September lalu.

Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 109 dan dibaca bersama Seksyen 395 serta Seksyen 397 Kanun Keseksaan (merompak menggunakan senjata) yang membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebatan.

Mengikut fakta kes, Heinrick berperanan sebagai perancang utama yang tinggal di hotel tersebut dan bertanggungjawab menyediakan kapal serta memantau, mengkaji dan membuat pemerhatian terhadap pergerakan kapal selama 2 bulan melalui sistem dalam talian Marine Traffic dan Ship Finder sebelum rompakan dilakukan.

Rompakan tersebut menyebabkan seorang kru cedera. Mangsa berjaya diselamatkan selepas seorang nelayan yang ternampak tertuduh memanjat ke atas kapal tangki milik syarikat Thailand itu, membuat laporan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/09/07/10-lanun-ditahan-cuba-rompak-rm7-juta-diesel-dari-kapal-dagang/