Ambiga gagal cabar larangan ke Sabah

ambiga-lawsuit-1PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan bekas presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Ambiga Sreenevasan mencabar larangan beliau ke Sabah, dengan memutuskan pihak berkuasa Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa mutlak untuk menyekat kemasukan seseorang ke 2 negeri itu.

“Keputusan dalam kes Sugumar Balakrishnan menentang Pihak Berkuasa Negeri Sabah pada 2002 masih merupakan undang-undang baik,” kata Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop yang mempengerusikan panel 3 hakim.

Dua lagi hakim ialah Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Azahar Mohamed.

Ambiga dilarang memasuki Sabah pada 2014.

Peguam, Gurdial Singh Nijar yang mewakili Ambiga memberitahu wartawan keputusan mahkamah mengesahkan 2 negeri itu mempunyai kuasa mutlak dan tidak terbatas untuk menentukan siapa yang boleh memasuki negeri berkenaan.

“Mereka tidak perlu memberi alasan menolak kemasukan di bawah Seksyen 67 Akta Imigresen, walaupun untuk kegiatan politik yang sah,” katanya.

Gurdial – bekas pensyarah undang-undang Universiti Malaya yang pernah mengajar 3 hakim itu berharap akan ada peluang lain untuk mengkaji semula keputusan mengenai kes Sugumar.

Dalam kes itu, Sugumar, seorang peguam yang lahir di Semenanjung Malaysia dan menjalani latihan di Kota Kinabalu, memohon mahkamah mengembalikan permit kemasukannya ke Sabah.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan memutuskan hak kebebasan individu dijamin di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsirkan secara umum, oleh itu permohonan Sugumar ditolak.

Ambiga memohon semakan kehakiman ke atas larangan beliau memasuki Sabah pada 25 November 2014, untuk menghadiri satu jerayawara anjuran kumpulan pro-perpaduan, Negara-Ku di bawah naungannya.

Beliau kemudian menulis surat kepada pihak berkuasa imigresen negeri bagi mendapatkan penjelasan berhubung larangan itu, tetapi tiada jawapan diberikan.

Shamsul Bolhassan yang mewakili Putrajaya dan Kementerian Dalam Negeri berkata, Perkara 74 Perlembagaan memberi kuasa imigresen kepada Sabah dan Sarawak untuk mengawal kemasukan individu ke 2 negeri itu.

Peguam negeri Sabah, Mohamed Hanafiah Kassin berkata, kuasa imigresen untuk 2 negeri itu adalah unik dan diberikan di bawah peruntukan khas apabila Malaysia dibentuk.

Beliau berkata, Ambiga membuat “cubaan pintu belakang” untuk mencabar keputusan dalam kes Sugumar.

Gurdial berkata, dakwaan “cubaan pintu belakang” itu tidak adil kerana beliau mencabar peruntukan di bawah Akta Imigresen yang bertentangan hak diberikan kepada warganegara di bawah Perlembagaan.