Belia tak minat mengundi, anggap Malaysia menuju negara gagal, kata kajian

undi_rakyat_malaysia_new_600

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar pengundi muda berpendapat Malaysia sedang menuju ke arah negara yang gagal, menurut tinjauan umum

Menurut tinjauan bertajuk “Persepsi Anak Muda Mengenai Ekonomi, Kepimpinan dan Isu Semasa”, 57% daripada 604 responden yang ditemubual badan kaji selidik Merdeka Center, berpendapat negara sedang menuju ke arah negara gagal.

Kira-kira 49% daripada mereka yang menganggap demikian memberikan ekonomi sebagai alasan, diikuti isu politik, kepimpinan dan rasuah.

Pandangan seperti itu didorong oleh cara mereka melihat keadaan kewangan peribadi mereka sendiri.

Sebanyak 51% melihat inflasi sebagai isu utama diikuti rasuah (34%). Manakala kurang 10% melihat skandal 1MDB sebagai punca utama iaitu 6%, diikuti tuduhan terhadap integriti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (5%) dan hubungan antara kaum (5%).

Menilai kepuasan terhadap kerajaan, 67% daripada responden berkata mereka tidak berpuas hati.

Tinjauan ini dijalankan pada 3-8 Ogos bersama Watan, sebuah NGO berkempen menggalakkan belia mengundi.

Seramai 604 responden berusia antara 21-30 tahun di semua negeri dan kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia ditemu bual.