Malaysia komited hapuskan pemerdagangan manusia, kata Anifah Aman

anifah-aman

KUALA LUMPUR: Malaysia kekal komited dan meletak keutamaan paling tinggi dalam menghapuskan kegiatan perburuhan paksa, perhambaan moden dan pemerdagangan manusia menjelang 2030, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

“Kami mempunyai undang-undang nasional yang cukup dalam hubungan ini, terutamanya Kanun Keseksaan dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Berikutan langkah memperketatkan undang-undang kami pada 2015, jumlah pendakwaan dan sabitan semakin meningkat dengan ketara. Sejak 2016, pihak berkuasa menyediakan ruang bagi mangsa pemerdagangan manusia dengan kebebasan untuk bergerak dan diambil bekerja,” katanya.

Anifah berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan Malaysia pada forum ‘Pemimpin Peringkat Tertinggi: Gesaan Bagi Tindakan Untuk Menamatkan Perburuhan Paksa, Perhambaan Moden dan Pemerdagangan Manusia’ di New York.

Beliau menegaskan dalam memastikan respons negara yang padu dan diselaraskan dengan baik, timbalan perdana menteri Malaysia sudah mempengerusikan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran sejak 2015.

Menteri Luar berkata selain itu, usaha Malaysia dipandu oleh Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang (2016-2020), sebagai susulan kepada pelan pertama yang merangkumi tempoh 2011-2015.

“Pelaksanaan Pelan Tindakan Kebangsaan ini diselia oleh 5 prinsip panduan iaitu tanggungjawab kerajaan; penyertaan masyarakat sivil; layanan terhadap mangsa berdasarkan hak asasi manusia; koordinasi dalam kalangan pelbagai agensi di peringkat kerajaan dan pertubuhan antarabangsa serta badan bukan kerajaan; dan akhirnya; penilaian sistematik dan ketahanan,” katanya.

Anifah menarik perhatian dengan mengatakan Malaysia mengiktiraf pemusatan kerjasama serantau dan antarabangsa dalam memerangi jenayah kejam ini.

Beliau berkata Malaysia mengesahkan Konvensyen ASEAN 2015 terhadap Pemerdagangan Orang, Terutamanya Wanita dan Kanak-kanak (ACTIP) pada 7 September 2017, justeru Malaysia aktif dalam Proses Bali mengenai Penyeludupan Manusia, Pemerdagangan Orang dan Jenayah Rentas Sempadan, yang memulakan mekanisme dan aturan serantau dalam menangani jenayah itu.

Menyentuh tentang cabaran, Anifah menegaskan, penyelesaian kepada isu rumit yang dihadapi hari ini memerlukan tanggungjawab bersama, bukan hanya oleh negara, tetapi juga oleh pihak berkenaan lain, terutamanya masyarakat sivil dan sektor swasta.

“Dalam hubungan ini, delegasi saya berpandangan segala langkah digariskan dalam dokumen ‘Call to Action’ yang dikemukakan hari ini suatu asas yang sangat baik dalam memacu langkah ke depan, terutamanya ke arah mencapai matlamat 8.7 di bawah Agenda 2030.

“Sehubungan itu, ayuh berikrar dan persiapkan diri untuk bertindak, dan bertindak dengan penuh ketegasan,” katanya.

Anifah berkata Malaysia berdiri teguh dengan semua negara dalam usaha bersama untuk menghapuskan jenayah perburuhan paksa, perhambaan moden dan pemerdagangan manusia.