Mangsa banjir P Pinang terima RM400

lim-guan-eng_penang_banjir_600

GEORGE TOWN: Setiap keluarga mangsa banjir di Pulau Pinang akan menerima RM400, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Beliau berkata banjir paling teruk Jumaat lepas itu menyebabkan 200 keluarga dipindahkan ke 11 pusat pemindahan.

“Mereka yang menerima bantuan adalah mereka yang mengalami kerosakan bangunan atau kenderaan,” katanya pada sidang akhbar.

Lim berkata bayaran akan diuruskan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jawatankuasa Keselamatan Kampung bawah seliaan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri.

“Borang permohonan bantuan akan dikeluarkan Isnin depan di mana-mana pejabat wakil rakyat kerajaan negeri. Ia harus dipulangkan semula dalam tempoh sebulan sebelum bayaran dibuat,” katanya.

Banjir dikatakan berpunca daripada tempias Taufan Doksuri yang menyebabkan hujan luar biasa.