Masih banyak sekolah tahfiz tak berdaftar di Lembah Klang

Haris-Kasim-jaisPETALING JAYA: Masih ada sekolah tahfiz bersikap sambil lewa dan tidak melihat tragedi yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah sebagai pengajaran untuk memastikan premis mereka selamat diduduki dan mempunyai kelulusan daripada pihak berkuasa, menurut tinjauan FMT melibatkan beberapa sekolah aliran itu di Lembah Klang.

Terdapat sekolah tahfiz di sekitar Petaling Jaya, Shah Alam dan Subang yang beroperasi sejak sekian lama tanpa mendapat kelulusan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Seorang pengusaha sekolah tahfiz di Taman TTDI Jaya di Shah Alam memberitahu FMT, satu sebab sekolahnya tidak didaftarkan ialah kerana bilangan pelajarnya tidak melebihi 20 orang, iaitu antara syarat untuk pendaftaran di bawah Jais.

Semakan di portal sistem maklumat pendidikan Islam yang diperkenalkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati sekolah tahfiz berkenaan masih tidak berdaftar walaupun sudah beroperasi selama 3 tahun.

Ketika ditanya mengenainya, beliau yang tidak mahu dikenali berkata pusat tahfiznya sudah berada di bawah pemantauan Jais.

“Mereka melihat silibus yang sekolah kami ajar,” katanya, sambil menambah pihak berkuasa mahu memastikan sukatan menepati aliran Sunnah Wal Jamaah dan “tidak mengikut ajaran Wahabi”.

Sebuah lagi sekolah tahfiz di Subang Jaya turut menggunakan alasan sama iaitu masih dalam proses untuk mendapatkan kelulusan Jais, sedangkan sudah mengutip wang daripada ibu bapa pelajar selama 10 tahun.

“Kita masih dalam proses untuk mendapatkan kelulusan daripada Jais. Buat masa ini kita mendapat sijil sementara untuk memulakan operasi. Kita perbaharui sijil itu setiap tahun,” kata seorang jurucakap mewakili sekolah itu.

Menurut Jakim, sebanyak 35 daripada 1,104 buah sekolah tahfiz di dalam Selangor tidak berdaftar manakala 43 buah sekolah tahfiz masih dalam proses pendaftaran.

Di Selangor, daerah Hulu Langat mempunyai 10 sekolah tahfiz tidak berdaftar, diikuti daerah Petaling (7), Klang (6), Gombak (4), Hulu Selangor (4), Sabak Bernam (3), dan satu di Sepang.

Sekolah tahfiz tumbuh seperti cendawan sejak beberapa tahun ini, dan aliran pendidikan itu mendapat perhatian semula selepas tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat, Kuala Lumpur, yang meragut nyawa 21 pelajar berusia 6-17 tahun dan 2 guru.

Polis sudah pun menangkap 7 suspek yang dipercayai memulakan kebakaran awal subuh 14 September itu, dan percaya ia timbul akibat perselisihan antara sekumpulan remaja dengan pelajar di sekolah itu.

Enggan berdaftar

Pengarah Jais, Datuk Haris Kasim berkata terdapat segelintir pengusaha sekolah tahfiz swasta mengambil jalan mudah dan memutuskan untuk tidak mendaftar dengan Jais.

“Mereka tidak mahu berdaftar kerana tidak mahu mematuhi apa yang kita sudah tetapkan.

“Antara syarat ditetapkan adalah mereka mesti dapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bomba. Itu perkara yang mereka gagal sediakan,” katanya kepada FMT.

Jais berkata antara syarat yang dikenakan sekolah yang ditubuhkan mestilah berteraskan ajaran Islam sepertimana yang dikehendaki dalam Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam.

Selain itu, Jais berkata sekolah tersebut perlu mewujudkan panel pengurusan dianggotai sekurang-kurangnya 7 warganegara Malaysia beragama Islam berumur 21 tahun ke atas.

“Semua guru hendaklah mengikuti kursus perakuan mengajar dan lulus dalam ujian terbabit dan sekolah terbabit perlu mendapatkan sokongan daripada Pejabat Kesihatan Negeri/Daerah,” kata Jais.