Menteri: Pengaruh luar, rakan sebaya punca pelajar terjebak dadah

menteri-dadah

KUALA LUMPUR: Menteri pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengakui kerajaan menghadapi cabaran dalam usaha memerangi dadah dalam kalangan pelajar sekolah disebabkan pelbagai bentuk pengaruh luar dan rakan sebaya.

“Masalah sekarang, dadah mempunyai pelbagai (bentuk) pil dan pil sintetik ini susah kita nak kesan.

“Bagaimana ‘pusher’ boleh sampai kepada pelajar ini dengan begitu cepat,” katanya selepas menyerahkan sumbangan Yayasan Guru Malaysia Berhad kepada waris pelajar dan guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, hari ini.

Sabtu lalu, polis mengesahkan 6 daripada 7 suspek lelaki berusia 11 hingga 18 tahun yang ditahan minggu lalu, didapati positif dadah jenis ganja serta dipercayai khayal ketika memulakan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 21 pelajar dan 2 gurunya.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, Kementerian Pendidikan melakukan pelbagai program, termasuk ujian air kencing bagi menangani masalah penagihan dadah di kalangan pelajar.

“Kemudian ada program pemulihan melalui Strategi Lautan Biru dan dalam itu ada polis, Agensi Antidadah Kebangsaan, NGO seperti Pemadam (Persatuan Mencegah Dadah Malaysia) dan Sekolah Henry Gurney. Kumpulan ini menyasarkan tempat tertentu.”

Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata, kementeriannya menyokong cadangan meminda Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) untuk mewajibkan pendaftaran institusi pendidikan Islam swasta, termasuk sekolah tahfiz dengan persetujuan kerajaan negeri.

Katanya, di peringkat permulaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri.

“Kita akan buat pasukan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Kemudian, ada tindakan-tindakan susulan yang akhirnya membolehkan pindaan Akta 550,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, cadangan meminda Akta 550 ialah langkah proaktif bagi mencari jalan menyelesaikan isu berkaitan sekolah tahfiz, termasuk isu keselamatan memandangkan pengurusan sekolah itu kini di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Katanya, ketika ini, terdapat 941 sekolah tahfiz swasta berdaftar dengan Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia, membabitkan 9,470 guru dan lebih 150,000 pelajar.

Tetapi, hanya 612 daripada jumlah itu yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa negeri kerana bimbang sekolah mereka diambil alih kerajaan.

7 remaja ditahan bakar sekolah tahfiz di Keramat kerana diejek