Pusat Inovasi dan Kreatif nafi buat perjanjian dengan Uber

MaGIC-uber

PETALING JAYA: Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) menafikan penglibatan mereka dalam perjanjian atas dasar balas-membalas atau “quid-pro-quo” dengan syarikat Uber Technologies Inc seperti dilaporkan media hari ini.

MaGIC, pusat untuk usahawan muda menghasil dan membangunkan idea mereka menjadi perniagaan berjaya berkata, pihaknya bekerjasama dengan korporat dan menawarkan inisiatif serta platform bagi menghubungkan usahawan.

“Kami menafikan sebarang penglibatan dalam mana-mana urusan ‘quid-pro-quo’.

“Sebagai sebahagian daripada usaha kami membina ekosistem keusahawanan, kerjasama dengan syarikat korporat membantu usahawan muda di peringkat idea, dan menjadi jambatan penghubung dalam ekosistem,” kata MaGIC dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Uber dilaporkan bakal disiasat Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berhubung dakwaan ia melanggar undang-undang membabitkan rasuah di peringkat antarabangsa.

Bloomberg melaporkan DoJ memfokuskan kegiatan mencurigakan di China, India, Indonesia, Malaysia dan Korea Selatan.

Menurut laporan itu, peguam Uber turut menyiasat “derma korporat” berpuluh ribu dolar pada Ogos 2016 kepada MaGIC yang ditubuhkan Putrajaya untuk menggalakkan keusahawanan.

Pada masa sama, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) mengumumkan pelaburan AS$30 juta dalam Uber, menurut sumber yang arif dengan urusan itu seperti dipetik Bloomberg.

Kurang setahun kemudian, Putrajaya meluluskan akta yang membenarkan perkhidmatan e-hailing seperti Uber untuk beroperasi di Malaysia.

MaGIC dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden AS ketika itu, Barack Obama, pada 27 April 2014.

DoJ siasat kemungkinan rasuah dalam urusan Uber dengan Putrajaya