‘Tak masuk akal tambah wakil rakyat di daerah kurang penduduk’

jeniri-amir_undi_600

PETALING JAYA: Tidak masuk akal membandingkan dakwaan kekurangan wakil rakyat di Sabah berdasarkan saiz geografinya, kata 2 penganalisis.

Mereka berkata, yang penting ialah jumlah penduduk di sesebuah kawasan itu, bukan saiz geografinya.

Membandingkan jumlah penduduk dengan saiz geografi ibarat membandingkan epal dan oren, kata 2 penganalisis itu sebagai mengulas sebuah video yang tersebar di media sosial.

Video 2 minit 11 saat itu dimuat naik ke Facebook oleh pengguna bernama John Richard Stephens.

Video itu mendakwa Sabah dilayan secara tidak adil dalam cadangan sempadan pilihan raya dengan memberi perbandingan daerah Keningau (3,533km persegi) kepada Pulau Pinang (1,039km persegi), Melaka (1,630km persegi) dan Perlis (816km persegi).

Ia turut menyatakan Keningau hanya mempunyai sebuah kerusi Parlimen dan 3 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sementara Pulau Pinang mempunyai 12 Parlimen dan 40 DUN, Melaka (6 Parlimen, 28 DUN) serta Perlis (3 Parlimen, 15 DUN).

“Keningau hanya sebuah daerah, tetapi ia boleh memuatkan 3 negeri. Fikirkan jika daerah Keningau menjadi negeri Keningau,” menurut video itu.

Prof Madya Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, membandingkan jumlah kerusi pilihan raya di daerah tertentu dengan negeri lain ibarat membandingkan “epal dan oren”.

Beliau berkata, ia “tidak masuk akal dan tidak adil” untuk meminta lebih ramai wakil rakyat untuk sebuah kawasan luas tetapi tidak padat, berbanding sebuah kawasan lebih kecil yang padat dengan penduduk.

Katanya, 3 kerusi DUN lebih daripada mencukupi untuk Keningau yang hanya mempunyai 134,000 penduduk kerana jumlah penduduk di Pulau Pinang, Melaka dan Perlis lebih ramai.

Semakan FMT mendapati Pulau Pinang mempunyai 1.65 juta penduduk, manakala populasi di Melaka ialah 872,900 orang dan Perlis mempunyai 251,000 penduduk.

Seorang lagi penganalisis dari Unimas, Prof Madya Arnold Puyok berkata, jika mengambil kira beberapa faktor seperti potensi ekonomi dan penduduk, cabaran terbesar Sabah ialah ia tidak padat penduduk.

Beliau berkata, mewujudkan lebih banyak kerusi pilihan raya bukan penyelesaian, sebaliknya mereka memerlukan wakil rakyat “berkualiti” untuk memegang kerusi itu.

“Ahli Parlimen yang mewakili kawasan luas boleh melantik lebih ramai pemimpin masyarakat untuk melapor atau membantu beliau menguruskan masalah pembangunan atau rakyat.”