TMJ, Harimau Malaya boleh ke Pyongyang bila-bila masa

TMJ-Korea

PETALING JAYA: Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim diberikan penghormatan untuk menggunakan ruang udara terus dari Johor ke Pyongyang, Korea Utara pada bila-bila masa.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu diberikan penghormatan sedemikian hasil dari perbincangan dengan Charge D’Affairs Korea Utara, Kim Yu Song semalam.

Kedua-dua pemimpin itu berbincang mengenai isu semasa dan perlawanan Pusingan Akhir Kelayakan ‘AFC Asian Cup UAE’ 2019 Peringkat Kumpulan B.

Pertemuan dilaporkan melalui Facebook Johor Southern Tigers menyaksikan Korea Utara dan Malaysia bersetuju untuk menjamin keselamatan para pemain dan pegawai pasukan.

“Ini merupakan satu penghormatan tertinggi kerana sebelum ini mana-mana pihak di dunia perlu berhenti di Beijing terlebih dahulu,” kata Johor Southern Tigers.

Sebelum ini, kerajaan bertegas meminta perlawanan skuad Harimau Malaya dan Korea Utara diadakan di lokasi berkecuali. Bagaimanapun permintaan kerajaan itu ditolak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Perlawanan kedua-dua pasukan itu sepatutnya berlangsung pada 8 Jun lalu namun ditukar ke tarikh lain iaitu 5 Oktober 2017.

AFC mengambil kira faktor keselamatan berikutan insiden kematian Kim Jong Nam, abang sebapa pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un pada Februari lalu.

Penangguhkan itu merupakan penangguhan ke-2 selepas perlawanan asal 28 Mac ditukar kepada 8 Jun.