Kebakaran sekolah tahfiz: Bomba temui 2 tong gas, kesan petrol

bomba_bakar_600

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengesahkan penemuan 2 tong gas serta kesan simbahan petrol pada perabot dan dinding Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut 23 nyawa, Khamis lalu.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, kebakaran itu disengajakan kerana 2 bahan berkenaan ditemui di 7 tempat dalam tingkat 3 sekolah di Kampung Keramat Ujung itu.

Katanya, saksi dan pelajar yang terselamat turut menyatakan kebakaran itu bermula di pintu bilik asrama tingkat 3.

“Dua silinder gas berwarna hijau berbelang merah dijumpai di depan pintu masuk bilik asrama. Kedua-dua silinder ini kosong dan injap silinder dalam keadaan terbuka.

“Kebakaran di pusat tahfiz berkenaan dipercayai disebabkan api yang dinyalakan menggunakan petrol yang dicurahkan pada rak tuala, rak kasut dan dinding di depan pintu masuk bilik asrama aras 3.

“Kebakaran merebak ke siling dan membakar pintu masuk aras 3 tersebut. Api marak dengan cepat disebabkan gas LPG yang dilepaskan daripada kedua-dua silinder sehingga menyebabkan ia merebak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JBPM hari ini.

Beliau berkata, 4 daripada 7 sampel yang diambil di depan pintu bilik asrama itu menunjukkan kandungan sisa petrol.

Sabtu lalu, polis mengumumkan kes kebakaran sekolah tahfiz itu selesai dengan penahanan 7 suspek lelaki berusia 11 hingga 18 tahun di sekitar ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dilaporkan berkata, polis akan menyiasat petrol yang digunakan untuk mempercepatkan kebakaran itu dan 2 tong gas yang dibawa dari tingkat bawah ke tingkat 3 sekolah tahfiz terbabit.

Mengulas lanjut, Wan Mohd berkata, kebakaran itu mengorbankan 23 pelajar dan guru, manakala 23 lagi berjaya diselamatkan dan 3 yang lain tiada dalam pusat tahfiz terbabit.

Katanya, anggota bomba juga berjaya mengeluarkan 5 sekeluarga yang tinggal di bilik warden menggunakan tangga jentera bomba.

“Laporan penuh sudah diserahkan kepada polis,” katanya.

Seramai 21 pelajar lelaki berusia 6 hingga 17 tahun dan 2 guru berusia 25 serta 26 tahun terkorban dalam kebakaran jam 5.15 pagi, 14 September lalu.

Tujuh mangsa termasuk 6 pelajar sekolah tahfiz itu turut cedera dalam tragedi berkenaan.

7 remaja ditahan bakar sekolah tahfiz di Keramat kerana diejek