Malaysia larang parti gay, kata Zahid

zahid-gay

MANILA: Kerajaan Malaysia tidak akan membenarkan sebarang acara atau parti gay yang dilaporkan dirancang diadakan di Kuala Lumpur pada 30 September, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, walaupun sehingga kini penganjur acara itu belum membuat permohonan permit bagi membolehkan acara itu berlangsung, beliau sudah mengarahkan polis tidak meluluskannya.

“Jika diteruskan juga, acara itu dianggap perhimpunan haram,” katanya kepada media Malaysia hari ini.

Zahid yang juga menteri dalam negeri tiba di Filipina Selasa lepas untuk menghadiri Mesyuarat Menteri Asean Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-11 dan mesyuarat berkaitan yang berakhir hari ini.

Dua hari lepas, sebuah portal melaporkan satu acara gay akan diadakan di Kuala Lumpur pada 30 September ini, yang bakal mempromosikan acara perhimpunan gay tahunan terbesar di Asia iaitu “White Party Bangkok” di Thailand dijadualkan berlangsung 28 Disember ini.

Zahid berkata, beliau mendapat laporan daripada Bukit Aman berhubung penganjuran acara itu dan meminta polis bertindak sewajarnya.

Beliau juga mengarahkan Jabatan Imigresen bertindak tegas dengan tidak mengeluarkan visa atau kebenaran memasuki negara ini terhadap rakyat asing yang ingin menghadiri acara memalukan negara itu.

“Kita sedang meneliti nama individu berkenaan dan akan meletakkan mereka dalam kategori ‘not to let’ (tidak dibenarkan di pintu masuk negara),” katanya.

Beliau berkata, kerajaan amat prihatin berhubung laporan polis dan kebimbangan badan bukan kerajaan serta badan politik berhubung penganjuran acara itu.

“Apa yang dirancang mereka ini adalah sesuatu yang di luar perlakuan manusia normal.

“Sebagai menteri dalam negeri, saya mengarahkan polis dan Jabatan Imigresen memantau dengan terperinci agar White Party ini tidak dilakukan di mana-mana tempat dalam negara ini, sama ada secara terbuka atau tertutup.

“Ini adalah komitmen saya yang ingin saya nyatakan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.