Mengapa kes buang 3,500 pekerja MAS tak dibawa ke mahkamah, soal Nufam

nufam-malaysia-airlines

SUBANG JAYA: Badan mewakili kakitangan penerbangan, Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) mempersoalkan mengapa Kementerian Sumber Manusia belum membawa kes pembuangan 3,500 pekerja Malaysia Airlines yang difailkan 2 tahun lalu ke Mahkamah Perusahaan.

Pada 1 Jun 2015, Malaysia Airlines System Berhad (MAS) mengumumkan pemberhentian 6,000 pekerjanya dalam program penstrukturan semula syarikat. Kira-kira 3,500 bernaung di bawah Nufam.

Presiden Ismail Nasaruddin hari ini berkata, sehingga kini mash belum ada sebarang perkembangan dalam kes bekas pekerja berkenaan.

“Sesetengah pihak mungkin menyangka perkara ini dah diselesaikan dengan syarikat penerbangan tetapi sebenarnya tak mula pun lagi.

“Menteri masih lagi tidak merujuk kes berkenaan. Kita mendesak kementerian untuk mempercepatkan proses 3,500 kes ini di mana ia terlalu lama,” katanya pada sidang medianya di sini hari ini.

Ismail berkata Nufam pernah menghubungi kementerian untuk mendapatkan penjelasan namun belum ada maklum balas. Menurut Ismail, usaha terbaharu Nufam ialah menghantar surat kepada timbalan menteri dan ketua setiausaha kementerian 6 September lalu.

“Mana dia kes itu? Takkan dah lebih 2 tahun masih lagi tidak dirujuk lagi? Ini adalah keadilan yang tertangguh dan menafikan hak mereka. Ini juga sebab kita tidak gembira,” katanya.

Ismail khuatir proses pengambilalihan sepenuhnya MAS oleh Malaysia Airlines Bhd (MAB) akan menyebabkan bekas pekerja berkenaan tidak mendapat pampasan.

“Kita risau apabila tiba masanya (kes itu) dirujuk. MAS tutup. Kemungkinan tahun hadapan apa yang kami dengar daripada peguam pengambilalihan sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu mengulas isu lain, Ismail turut mengecam tindakan Malaysia Airlines yang memberhentikan 5 orang kru kabin yang kebanyakannya berusia 50 tahun pada 14 September lalu disebabkan “berat badan yang berlebihan”.

Ismail berkata, tidak adil mengarahkan mereka menurunkan berat badan mereka walaupun sudah diberikan notis 18 bulan untuk menurunkan berat badan.

“Kita akan bawa perkara ini ke mahkamah dan kita menggesa Datuk Seri Richard Riot (Menteri Sumber Manusia) dan Datuk Seri Liow Tiong Lai (Menteri Pengangkutan) untuk campur tangan,” katanya.