Pakar kriminologi: Jenayah kecil mungkin membawa kepada jenayah serius

geshina

PETALING JAYA: Jenayah kecil seperti merokok dan berjudi boleh membawa kepada jenayah serius seperti dalam kes kebakaran sekolah tahfiz di Kampung Datuk Keramat minggu lalu, kata seorang pakar psikologi dan kriminalogi.

Dr Geshina Ayu Mat Saat dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, hasil kajian pasukannya ke atas jenayah kecil dan juvana mendapati 4 pendekatan yang mungkin diambil generasi muda bermasalah.

Penduduk setempat yang dipetik media berkata, suspek yang membakar sekolah tahfiz sehingga mengorbankan 23 pelajar dan guru itu, dikesan merayau dan merokok, selain merupakan kaki ponteng sebelum dibuang sekolah.

“Ia bermula dengan ‘jenayah kecil’ seperti merokok, berjudi dan bereksperimen dengan dadah. Ini boleh membawa kepada ‘jenayah berisiko’ seperti bergaduh.

“Ia boleh menjadi ‘jenayah tabiat sederhana’, contohnya penyalahgunaan dadah dan lumba haram,” katanya sambil menambah ia adalah “jenayah serius” yang merangkumi rogol serta bunuh.

Beliau berkata, mereka yang terlibat dalam jenayah serius cenderung menyalahkan mangsa dan orang lain atas perbuatan mereka.

Faktor jenayah juvana

Geshina berkata, terdapat beberapa faktor yang membawa kepada jenayah juvana.

“Sesetengah orang lebih cenderung bertindak ganas atau melihat keganasan sebagai penyelesaian kepada pertikaian.

“Ia juga boleh disebabkan kekurangan empati, kecenderungan mengambil risiko, mentaliti kelompok, teladan negatif, asuhan lemah ibu bapa dan ponteng sekolah.

“Contohnya, statistik menunjukkan kanak-kanak tidak ponteng sekolah kurang terlibat dengan jenayah juvana.

“Jika ibu bapa menunjukkan kelakuan tidak baik, anak-anak akan mengikut jejak mereka.”

Dalam kes suspek kebakaran sekolah tahfiz di Kuala Lumpur, Geshina berkata, rakyat cenderung menyalahkan ibu bapa suspek, walaupun hakikat ada pihak lain yang bertanggungjawab membentuk dan mengembangkan kanak-kanak berkelakuan tidak baik.

“Kelakuan tidak baik dan jenayah juvana mempunyai elemen fisiologi, psikologi, sosiologi, kriminologi, persekitaran, agama dan moral.

“Sebenarnya, seluruh sistem pendidikan, kesejahteraan, dinamik keluarga dan kejiranan memainkan peranan dalam membentuk kelakuan tidak baik kanak-kanak.”

Oleh itu, katanya, tiada pemangkin kepada jenayah juvana, sebaliknya ia adalah kombinasi faktor dan peluang untuk melakukan jenayah sedemikian.

Pencegahan

Dalam menangani jenayah bawah umur, Geshina berkata, ibu bapa perlu menjadi teladan baik kepada anak seawal usia 2 tahun.

Jika anak melakukan jenayah juvana, Geshina berkata, ibu bapa perlu mengambil tindakan segera, bukannya membiarkannya guru atau masyarakat untuk membentuk kelakuan anak mereka.

“Ia bermula dengan keluarga. Tanpa mengira jantina, kanak-kanak di bawah 18 tahun tidak patut dibenarkan merayau pada waktu malam.”

Beliau berkata, had munasabah perlu ditetapkan bagi mengelakkan anak terdedah atau terlibat aktiviti jenayah yang biasanya berlaku pada waktu malam kerana lebih banyak peluang untuk melakukan jenayah dan melarikan diri.

“Biasanya anak muda yang berkumpul pada waktu malam terbabit perkara tidak baik.

“Banyak kejadian lumba haram basikal atau motosikal pada waktu malam, malah pada hari sekolah.”

Geshina berkata, pihak berkuasa patut mewajibkan kehadiran ke sekolah sehingga mereka tamat sekolah menengah.

Ketika ini, katanya, pendidikan wajib hanya terhad kepada sekolah rendah.

Baru-baru ini, 6 daripada 7 suspek terbabit dalam kebakaran sekolah tahfiz di Kampung Datuk Keramat dilaporkan dibuang sekolah atas masalah disiplin, termasuk ponteng.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan sewajarnya diambil kerana 6 suspek itu sering ponteng sekolah. Perbincangan dengan ibu bapa juga gagal menyelesaikan masalah itu.

“Kita perlu lihat kepada model pendidikan di Japan dan Belanda, di mana pembelajaran nilai positif seperti toleransi, penerimaan dan kemahiran hidup lebih ditekankan berbanding persediaan untuk memasuki alam pekerjaan.”

Pun begitu, katanya, masih ada individu yang memilih gaya hidup negatif dan cuba mempengaruhi orang lain.

“Lebih sukar menangani fenomena ini apabila mereka tidak mahu menerima kehidupan positif kerana merasakan gaya hidup negatif lebih baik dan tidak perlu menghiraukan orang lain.”

Sabtu lalu, polis mengumumkan penahanan 7 suspek lelaki berusia 11 hingga 18 tahun di sekitar ibu negara, dengan 6 daripada mereka didapati positif dadah jenis ganja dan 2 lagi mempunyai rekod jenayah lampau.

“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham (akibat) ejek-mengejek di antara suspek dengan segelintir penghuni asrama tahfiz ini yang bermula beberapa hari sebelum kejadian,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh.

Seramai 21 pelajar lelaki berusia 6 hingga 17 tahun dan 2 guru berusia 25 serta 26 tahun terkorban dalam kebakaran jam 5.15 pagi, 14 September lalu.

Tujuh mangsa termasuk 6 pelajar sekolah tahfiz itu turut cedera dalam tragedi berkenaan.

7 remaja ditahan bakar sekolah tahfiz di Keramat kerana diejek