Penganjur persoal alasan DBKL batal festival bir

mybeer_dbkl_600

PETALING JAYA: Penganjur Festival “Better Beer” 2017 mempertikai laporan acara itu dibatal atas faktor keselamatan.

Dalam kenyataan hari ini, MyBeer Malaysia merujuk komen Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai selepas mesyuarat Kabinet semalam.

Liow berkata isu penganjuran festival itu dibangkitkan dalam mesyuarat itu dan mendakwa beliau diberitahu pembatalan dibuat atas faktor keselamatan.

“Ini laporan yang diberi kepada kami. Kita harus terima pandangan polis kerana perlu mengambil kira keselamatan orang awam ,” katanya.

Bagaimanapun, MyBeer Malaysia berkata mereka sudah adakan festival itu secara tahunan sejak 5 tahun lepas tanpa kejadian tidak diingini berlaku sebelum, semasa atau selepas aktiviti.

“Kita mahu adakan mesyuarat dengan DBKL untuk membentangkan pelan keselamatan kami sekali lagi, yang kami percaya mencukupi.

“Seperti yang dipatuhi pada festival kami anjurkan sejak 5 tahun lepas, kita akan jalankan pemeriksaan pengenalan dan keselamatan secara ketat di semua pintu masuk ke kawasan tertutup itu, dengan pegawai keselamatan dan Persatuan Bulan Sabit Merah serta sokongan polis bantuan di Publika untuk memastikan keselamatan acara itu.”

Mereka berharap DBKL memberi peluang kepada mereka untuk bertemu dan berbincang mengenai rayuan untuk teruskan acara itu.

Festival “Better Beer” 2017 sepatutnya berlangsung pada 6 dan 7 Oktober di Galeri Beli-Belah Publika, yang sepatutnya menampilkan 250 bir buatan khas daripada 43 kilang bir seluruh dunia.

Festival itu pertama kali diadakan pada 2012 di Taps Beer Bar, Changkat Bukit Bintang. Oktober lalu, lebih 3,500 peminat bir buatan khas menghadiri acara itu di Galeri Beli-Belah Publika.