PH sasar 100,000 orang sertai himpunan anti-kleptokrasi

ppbm-kleptorasi-1-2PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) menyasarkan 100,000 orang menyertai himpunan “Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi” yang akan diadakan di Padang Timur, di sini, pada 14 Oktober ini.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berkata, himpunan anti-kleptokrasi itu turut akan diadakan di 13 negeri lain secara berperingkat-peringkat.

“Kita mahu seramai mungkin sertai himpunan ini. Kita sasarkan 100,000 orang akan hadir, di samping pelbagai aktiviti yang akan disediakan, selain ceramah oleh pimpinan PH.

“Selain itu, sasaran dibuat berikutan kita juga menyediakan 30 lot untuk sesiapa yang berminat menjual makanan atau cenderamata ketika himpunan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PPBM hari ini.

ppbm-kleptorasi-1-1Turut hadir Setiausaha Biro Antarabangsa Pemuda DAP, Howard Lee dan Ketua Penerangan Pemuda PPBM, Ulya Aqamah Husamudin.

Ia bakal menjadi himpunan pertama anjuran PH sejak gabungan 4 parti pembangkang itu mengemukakan pendaftaran kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), akhir Julai lalu.

Kleptokrasi, atau negara yang diperintah pencuri, merupakan istilah digunakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikah (DoJ) dalam usaha merampas aset mewah yang didakwa dibeli menggunakan dana diseleweng daripada 1MDB.

Mengulas lanjut, Faiz yang juga pengarah teknikal himpunan itu berkata, permohonan sudah dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk mendapatkan kebenaran menggunakan Padang Timur.

“Permohonan sudah diajukan kepada MBPJ dan ada syarat yang ditetapkan. Kita tidak ada halangan untuk mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Kita juga akan maklumkan kepada polis dan kita yakin tiada halangan untuk anjurkan himpunan ini.

“Jika ada halangan daripada polis, kita akan buat sidang media lain. Yang pasti segala syarat kita akan patuhi dan kita anjurkan himpunan mengikut Akta Perhimpunan Aman,” katanya.

Faiz berkata, himpunan itu dijadualkan bermula 4 petang hingga 12 malam dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan filem pendek, persembahan kebudayaan dan ceramah bagi menjelaskan makna kleptokrasi kepada orang ramai.