Rasuah tak meningkat, kami yang agresif, kata SPRM

Dzulkifli-Ahmad-macc-3

PEKAN: Peningkatan jumlah penahanan dan pendakwaan kes melibatkan rasuah akhir-akhir ini bukan bermaksud berlaku peningkatan kes jenayah itu di negara ini, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad.

Beliau berkata sebaliknya ini susulan tindakan agresif dilakukan oleh SPRM berikutan kesedaran pelbagai pihak termasuk orang ramai semakin meningkat dalam menyalurkan maklumat berkaitan jenayah itu.

“Isu rasuah bukan perkara baharu, ia dah lama berlaku, cuma sekarang SPRM agak agresif dari segi penguatkuasaan dan tindakan, bukan bermakna semakin ramai ambil rasuah… tak. Apabila SPRM lebih agresif nampaklah banyak (tangkapan).

“Tetapi jangan silap dan putar belit mengatakan sekarang kes rasuah berleluasa, sebaliknya penguatkuasaan telah menambahkan keyakinan rakyat kepada SPRM. Mungkin pada masa depan jumlahnya semakin berkurangan kerana orang sudah mula takut dan gerun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelepasan Kembara Jelajah Anti Rasuah 2017 (KEJAR’17) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kuala Pahang hari ini yang disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Dzulkifli berkata hasil program turun padang yang dilakukan SPRM berjaya mendekatkan rakyat dengan jabatan itu dan ini dapat dilihat dengan semakin ramai tampil menyalurkan maklumat berkaitan rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

Sementara itu, Adnan berkata beliau dan semua ahli exco Pahang akan menyertai Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) sebagai memberi sokongan kepada SPRM untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Menurutnya ia akan disusuli dengan semua 42 adun, ketua jabatan dan kakitangan kerajaan negeri sebagai tanda sokongan terhadap agensi itu.

“Ini langkah pertama, selepas ini kita akan minta pegawai kerajaan turun ke kampung dan minta mereka jadi anggota Gerah untuk jadi mata dan telinga SPRM,” katanya.

Pahang merupakan negeri keenam yang dikunjungi oleh konvoi kembara selama 13 hari itu yang disertai 43 motosikal berkuasa besar. Mereka berkonvoi sejauh 2,385km ke 12 negeri di Semenanjung sejak 18 Sept lepas bermula di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.