Sultan Johor mahu peralatan tentera ditukar

sultan

MERSING: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mahu segala kelengkapan ketenteraan terutamanya bagi Gerup Gerak Khas (GGK), yang uzur ditukar dengan peralatan baharu yang lebih canggih dan sesuai dengan teknologi dan keadaan masa kini.

Sultan Ibrahim berkata demikian bagi memastikan peralatan dibekalkan sesuai dan terbaik bagi anggota berkenaan menjalankan tugas mereka sama ada di darat, laut ataupun udara.

Sultan Johor turut mengingatkan pihak bertanggungjawab dalam proses perolehan kelengkapan GGK supaya menilai kualiti peralatan yang dibeli dengan betul bagi memastikan kelengkapan mengikut spesifikasi ditetapkan dan telah diuji keupayaannya.

“Sebagai contoh, pembekal jaket kalis peluru harus bersedia untuk ditembak bagi membuktikan jaket yang dibekalkan itu betul-betul selamat dan terbukti berkesan. Nyawa setiap anggota komando berharga dan tidak boleh digadaikan oleh pihak yang tidak amanah atau cuba mengambil kesempatan,” kata Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim selaku kolonel komandan GGK berkata demikian pada Majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun Ke-52 GGK dan Penganugerahan Beret Hijau Kehormat kepada Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim di Kem GGK hari ini.

Turut hadir Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sultan Johor juga berharap setiap anggota komando berusaha meningkatkan kecekapan masing-masing dengan kemahiran ilmu ketenteraan terkini selain berterusan menjalani latihan dan mengekalkan kekuatan fizikal dan mental mereka.

Menurut Sultan Ibrahim, ini penting bagi memastikan pasukan itu sentiasa bersedia dalam menjalankan tugasan bila-bila masa, lebih-lebih lagi dengan ancaman pengganas yang semakin berkembang dari dalam dan luar negara.

“Peranan yang dimainkan Gerak Khas sebagai pasukan elit barisan hadapan amat penting. Dengan ancaman pengganas yang semakin berkembang dari dalam dan luar negara, khidmat kerja anggota Gerak Khas amat diperlukan untuk menyusup masuk dengan cepat dan pantas bagi menghancurkan ancaman musuh,” kata Sultan Ibrahim.