‘Tangguh kelulusan akta e-hailing sehingga DoJ selesai siasat Uber’

Shamsubahrin-Ismail-minta-pertimbangan-Agong-supaya-menunda-kelulusan-akta-e-hailing-1KUALA LUMPUR: Pengusaha teksi mendesak Dewan Negara menangguhkan kelulusan pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat untuk mengawal selia syarikat e-hailing, sehingga siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) terhadap Uber Technologies Inc selesai.

Pengasas perkhidmatan teksi premium Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, Uber tidak sepatutnya dibenarkan beroperasi di negara ini memandangkan syarikat itu sedang disiasat AS atas dakwaan rasuah melibatkan beberapa negara Asia, termasuk Malaysia.

“Saya minta kerajaan dan Parlimen menangguhkan pelaksanaan akta e-hailing daripada diteruskan.

“Saya juga meminta pertimbangan Yang di-Pertuan Agong untuk menunda akta e-hailing ini daripada diluluskan Dewan Negara sehingga DoJ selesai menjalankan siasatan mereka terhadap skandal rasuah Uber,” katanya kepada FMT hari ini.

Pada 27 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengawal selia syarikat e-hailing seperti Uber dan Grab.

Semalam, Bloomberg melaporkan Uber akan disiasat DoJ berhubung dakwaan pelanggaran undang-undang membabitkan rasuah di peringkat antarabangsa, di mana DoJ memfokuskan kegiatan mencurigakan di China, India, Indonesia, Malaysia dan Korea Selatan.

Menurut laporan itu, peguam Uber turut menyiasat “derma korporat” berpuluh ribu dolar pada Ogos 2016 kepada Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) yang ditubuhkan Putrajaya pada April 2014 untuk menggalakkan keusahawanan.

Pada masa sama, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) mengumumkan pelaburan AS$30 juta dalam Uber, menurut sumber yang arif dengan urusan itu seperti dipetik Bloomberg.

Mengulas lanjut, Shamsubahrin mempersoalkan rundingan pelaburan antara Putrajaya dan Uber, sedangkan syarikat itu belum dikenali dan menjana keuntungan, ketika itu.

“Siapa orang tengah yang terlibat dalam rundingan dengan Uber, kita nak tahu.

“Ini duit simpanan persaraan rakyat, apa akan berlaku kepada duit ini sekiranya Uber menghadapi masalah,” katanya.

Big Blue Taxi kini mempunyai lebih 3,000 pemandu teksi di beberapa negeri, termasuk Johor dan Kuala Lumpur.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/09/20/doj-siasat-kemungkinan-rasuah-dalam-urusan-uber-dengan-putrajaya/