Tanpa Najib, RCI tiada bukti Kabinet diperdaya mengenai forex, kata peguam

hanif-naji

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu dipanggil menghadap Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menunjukkan bukti beliau selaku bekas anggota jemaah menteri pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad diperdaya mengenai kerugian forex yang dialami Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata Najib, yang ketika itu memegang portfolio pertahanan, harus berani memberi keterangan mengenai dakwaan kononnya beliau diperdaya menteri kewangan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana tanpa keterangan Najib, RCI sama sekali tidak mempunyai bukti material untuk menyimpulkan jemaah menteri ketika itu terpedaya.

“RCI harus laporkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa orang ramai, Parlimen dan Kabinet tidak diperdaya berhubung kandungan Laporan Audit Bank Negara Malaysia bagi tempoh 1992 hingga 1994,” kata Haniff dalam penghujahan bertulis kepada RCI.

Oleh itu, RCI harus simpulkan tiada keperluan untuk mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana individu atau institusi dalam perkara itu, kata Haniff, yang tampil mewakili Dr Mahathir.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri pada ketika itu, dan melepaskan jawatan pada 2003, selepas 22 tahun berada di tampuk kerajaan.

Najib ialah anggota jemaah menteri dalam pentadbiran Dr Mahathir dari 1985 hingga 2003 manakala Anwar ialah menteri kewangan dari 1991 hingga 1998.

Haniff berkata pengerusi RCI Tan Sri Mohd Sdek Hassan nampaknya mempunyai akses kepada dokumen sulit dan mengangin-anginkan Dr Mahathir dan Anwar memperdaya jemaah menteri pada 1993.

“Demi keadilan, RCI bertanggungjawab untuk memastikan sekurang-kurangnya seorang menteri yang menghadiri mesyuarat Kabinet tampil sebagai saksi untuk memberi keterangan yang mereka sudah diperdaya,” katanya.

Haniff juga berkata bekas gabenor BNM Tan Seri Zeti Akhbar Abdul Aziz memberi keterangan mengatakan langkah-langkah sewajarnya untuk memeriksa kerugian dagangan mata wang asing sudah dilaksanakan sejak 1994.

Namun, RCI itu ditubuhkan oleh kerajaan dan Agong sekadar memberi persetujuan seperti yang ditetapkan undang-undang, kata Haniff.

“Pihak sebenar yang memutuskan dan mahukan penubuhan RCI itu dengan terma rujukannya ialah kerajaan Malaysia,” katanya.

Bercakap bagi pihak anak guamnya, Haniff berkata hakikatnya ialah Najib menubuhkan RCI dengan niat tidak jujur bertujuan untuk mencemarkan nama baik Dr Mahathir, kerana kritikan bekas perdana menteri itu dalam skandal 1MDB.

“Penubuhan RCI ini ialah untuk Najib mengalihkan pandangan orang ramai dari imej buruk pentadbirannya sebelum pilihan raya umum akan datang.

“Oleh itu, sebarang angin-angin tidak wajar terhadap Dr Mahathir tanpa sebarang bukti sama seperti niat jahat lanjutan daripada niat dan harapan Najib,” katanya.

RCI dijadualkan menyerahkan laporannya kepada Agong dan kerajaan pada 13 Oktober.

RCI ditubuhkan pada 1 Julai lepas susulan dakwaan dan penafian Dr Mahathir terbabit dalam skandal itu, yang menyaksikan BNM mengalami kerugian berbilion ringgit.

Sidek, yang juga bekas ketua setiausaha negara dan mempengerusikan pasukan petugas khas yang ditubuhkan pada 15 Februari, kemudan mengesyorkan penubuhan RCI.

RCI ditugaskan untuk menyiasat kerugian AS$10 bilion (kira-kira RM25 bilion mengikut kadar tukaran masa itu) yang dialami BNM antara 1991 dan 1993.

Terma rujukannya ialah menentukan kesahihan dakwaan kerugian yang dialami BNM dan implikasi kepada ekonomi negara, menentukan sama ada pembabitan BNM dalam aktiviti tukaran mata wang asing yang mengakibatkan kerugian itu melanggar undang-undang, menentukan sama ada terdapat fakta atau maklumat mengenai kerugian itu disembunyikan dan kebenaran keterangan yang diberikan kepada jemaah menteri, Parlimen dan orang ramai, mengesyorkan tindakan terhadap mereka yang terlibat dan langkah yang perlu diambil bagi memastikan kejadian itu tidak berulang.