UKM: Hukuman berat menanti pelaku vandalisme ‘MATI’

Noor-Aziah-Mohd-Awal_ukm_mati_600

PETALING JAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melakukan vandalisme ke atas papan tanda di sekitar kampus induk di Bangi.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal ketika dihubungi FMT berkata, perbuatan itu jelas melanggar tatatertib universiti.

“Kita sudah buat laporan polis dan universiti juga akan buat siasatan dalaman. Kita akan ambil tindakan kepada sesiapa yang melakukan perkara itu.

“Kita di universiti ada peraturan dan bagi saya, tabiat vandalisme ini bukan tabiat orang yang ada pendidikan dan bagi yang ada akses kepada universiti tidak kira pelajar, staf dan juga mana-mana pihak terlibat.

“Kita tidak akan berkompromi sebab angkara perbuatan tersebut, kita terpaksa bersihkan papan tanda dan kena buat baru. Ia memerlukan duit dan mereka yang bersalah, kita akan minta mereka bayar,” katanya sambil menambah vandalisme jarang berlaku di UKM.

Pelbagai papan tanda termasuk sebuah cermin aliran trafik disembur dengan perkataan “MATI”.

Antara kawasan terlibat adalah Fakulti Pendidikan, papan tanda di pintu masuk Pusat Khidmat Siswa (Pusanika) dan sekurang-kurangnya 2 asrama kediaman, iaitu Kolej Burhanuddin Helmi serta Kolej Ibrahim Yaakub.

Sementara itu, aktivis siswa UKM, Asheeq Ali Sethi Alivi ketika dihubungi berkata, kejadian itu sering berlaku ketika kempen pilihan raya kampus bermula.

“Sabotaj ini setiap tahun berlaku bila tiba kempen pilihan raya kampus. Saya juga tidak pasti ia dilakukan pihak mana, tetapi ia berlaku setiap tahun, macam tahun lepas pelekat yang sukar dibuka ditampal di kereta-kereta.”

Mahasiswa jurusan undang-undang itu berkata, kejadian berkenaan dikesan berlaku pada malam Selasa lalu, selepas keputusan piliran raya kampus diumumkan, di mana kumpulan Aspirasi memenangi 37 daripada 39 kerusi yang dipertandingkan.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah melakukan perbuatan terkutuk yang boleh memalukan UKM, walaupun tidak berpuas hati dengan keputusan itu.

“Mahasiswa UKM celik akal dan kami tidak akan bertindak melulu serta memalukan diri sendiri dan UKM,” kata wakil kumpulan Demokrat itu.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/09/21/vandalisme-mati-di-kampus-ukm-timbul-tanda-tanya/