Kebakaran tahfiz: Reman semua suspek dilanjut 7 hari

polis_tahfiz_600_new

PETALING JAYA: Mahkamah hari ini melanjutkan perintah reman ke atas 7 suspek remaja yang disyaki terbabit dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat yang mengorbankan 23 pelajar dan guru, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa berkata, perintah reman 7 hari itu berkuat kuasa mulai esok sehingga 29 September ini.

Suspek lelaki berusia 11 hingga 18 tahun itu, direman polis selepas mereka ditahan Jumaat dan Sabtu lalu. Mereka disiasat atas dakwaan membunuh dan sengaja mencetuskan kebakaran.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim mengesahkan kebakaran adalah perbuatan sengaja susulan penemuan 2 tong gas serta kesan simbahan petrol pada perabot dan dinding sekolah 3 tingkat itu.

“Dua silinder gas berwarna hijau berbelang merah dijumpai di depan pintu masuk bilik asrama. Kedua-dua silinder ini kosong dan injap silinder dalam keadaan terbuka.

“Kebakaran di pusat tahfiz berkenaan dipercayai disebabkan api yang dinyalakan menggunakan petrol yang dicurahkan pada rak tuala, rak kasut dan dinding di depan pintu masuk bilik asrama aras 3.

“Kebakaran merebak ke siling dan membakar pintu masuk aras 3 tersebut. Api marak dengan cepat disebabkan gas LPG yang dilepaskan daripada kedua-dua silinder sehingga menyebabkan ia merebak,” katanya semalam.

Sabtu lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dilaporkan berkata, 6 daripada 7 suspek itu didapati positif dadah jenis ganja dan dipercayai khayal ketika memulakan kebakaran itu, manakala 2 daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.

“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham (akibat) ejek-mengejek di antara suspek dengan segelintir penghuni asrama tahfiz ini yang bermula beberapa hari sebelum kejadian.”

Seramai 21 pelajar lelaki berusia 6 hingga 17 tahun dan 2 guru berusia 25 serta 26 tahun terkorban dalam kebakaran jam 5.15 pagi, 14 September lalu.

Tujuh mangsa termasuk 6 pelajar sekolah tahfiz itu turut cedera dalam tragedi berkenaan.

Kebakaran sekolah tahfiz: Bomba temui 2 tong gas, kesan petrol

7 remaja ditahan bakar sekolah tahfiz di Keramat kerana diejek