Kerajaan Kelantan tetap haramkan Mak Yong

Mohd-Amar-Nik-Abdullah_kelanatan_Mak-Yong_600

PETALING JAYA: Kerajaan Kelantan tetap dengan pendirian mengharamkan persembahan tarian Mak Yong di negeri itu, di sebalik gesaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya larangan berkenaan dibatalkan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri pimpinan PAS itu kekal dengan dasarnya terhadap persembahan kebudayaan itu.

“Kita ada dasar kita sendiri untuk tidak membenarkan persembahan Mak Yong daripada dilakukan di Kelantan.

“Kalau nak buat persembahan di luar Kelantan tidak ada masalah…kita kekal dengan dasar kita,” katanya kepada FMT hari ini.

Mak Yong merupakan salah satu persembahan seni tradisi tertua Kelantan dan ia diiktiraf sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco).

Semalam, Pelapor Khas PBB dalam bidang hak budaya, Karima Bennoune menggesa kerajaan Kelantan menarik balik larangan persembahan kebudayaan seperti Mak Yong, wayang kulit, main puteri dan dikir barat.

Beliau berkata, persembahan kesenian itu perlu dirai dan dihargai kerana ia seni pentas tertua di dunia.

Katanya, dengan memindahkan amalan seni ini di tempat lain, jauh daripada wilayah asalnya tidak cukup untuk menjamin hak kebudayaan.

Beliau berkata, langkah perlu diambil bagi meningkatkan kefahaman dan penjelasan tentang maksud amalan ini, serta sejarahnya yang panjang di Malaysia untuk mengatasi pandangan prejudis terhadapnya.