Kereta dinaiki Anwar ke penjara terlibat kemalangan

Sivarasa-AnwarPETALING JAYA: Peguam Sivarasa Rasiah berkata konvoi kenderaan yang membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pegawai penjara terlibat dalam kemalangan semasa dalam perjalanan ke Penjara Sungai Buloh.

“Syukur, Anwar tidak mengalami sebarang kecederaan serius, tetapi agak terkejut dan telah diberikan ubat tahan sakit selepas dirawat doktor di Penjara Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kereta dan van yang memindahkan Anwar dari Hospital Kuala Lumpur ke Penjara Sungai Buloh terlibat kemalangan pada jam 12.30 tengah hari di persimpangan trafik berdekatan Saujana Utama.

“Pegawai penjara yang memandu kereta dinaiki Anwar menekan brek untuk mengelak kereta yang datang dari arah bertentangan dan melanggar kereta di depan,” katanya sambil menambah kereta terbabit hanya mengalami kerosakan di bahagin depan.

Beliau berkata Timbalan Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr S Jeyaindran dijadual bertemu Anwar pada jam 5 petang ini untuk menetapkan sama ada ketua umum Pakatan Harapan itu memerlukan rawatan lanjut di hospital.

Selasa lalu, Anwar dikejarkan ke HKL hari ini kerana tekanan darah tidak stabil, semasa menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh.

Menurut anaknya, Nurul Izzah Anwar, bapanya dimasukkan ke hospital 2.00 petang Selasa kerana “tekanan darah tinggi tidak menentu” selain memerlukan rawatan fisioterapi untuk kecederaan lama di bahu.