Lelaki mahu pengunjung berpakaian sopan tular di media sosial

melayguy_talk

PETALING JAYA: Video seorang lelaki memberitahu beberapa pengunjung sebuah kedai kopi di Flora Damansara supaya berpakaian “sopan” tular di media sosial.

Dalam video seminit setengah itu, lelaki tersebut memakai songkok dan berjubah hitam panjang mendakwa mewakili komuniti Flora Damansara di Petaling Jaya.

“Pertama, kami menentang sebarang penyalahgunaan dadah dalam komuniti ini.

“Kedua, kami menentang penggunaan alkohol di khalayak ramai di Flora Damansara. Mengapa? Kerana tempat ini dihuni penduduk majoriti Islam. Ini tidak menghormati orang Islam.

“Terdapat juga aktiviti mencurigakan seperti pelacuran.

“Saya menggesa anda semua tidak memakai pakaian yang ‘terdedah’,” katanya.

Lelaki itu yang dilihat memegang sekeping kertas mengandungi larangan tersebut, memberikan tempoh kepada pelanggan selama seminggu untuk mematuhi notis tersebut.

Dia juga meminta para pelanggan berkongsi notis itu dengan rakan-rakan.