Mustahil 1 lawan 1 di Sabah, kata pengerusi PH

christina

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan Sabah terima hakikat perlawanan menentang Barisan Nasional di negeri itu pada pilihan raya umum akan datang mustahil dilakukan 1 lawan 1.

Pengerusi Christina Liew berkata, ini kerana PH hanya akan bekerjasama dengan “pembangkang sebenar” yang benar-benar mahu menukar kerajaan.

“Kita tahu parti mana yang boleh diajak bekerjasama dan pintu kami sentiasa terbuka. Di Sabah, kita ada banyak parti, jadi tidak mungkin ada perlawanan 1 lawan 1.

“Walaupun kita bekerjasama dengan parti tertentu dan berpakat dengan mereka, akan ada parti lain yang mungkin tidak akan bersetuju.

“PH akan bekerjasama dengan 1 atau 2 parti tempatan yang mempunyai matlamat untuk menukar kerajaan dan bagi mencapai matlamat itu, kita perlu bersatu,” katanya pada majlis pelancaran Manifesto PH Sabah hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedar ada parti pembangkang tempatan yang mesra BN dan PH Sabah tidak akan mendekati mereka.

Tanpa kerjasama kuat antara parti pembangkang, Christina percaya peluang untuk menukar kerajaan Sabah tidak mudah.

Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan parti itu mengadakan rundingan tidak rasmi dengan beberapa parti Sabah tertentu untuk mencapai suatu persetujuan.

“Kita perlu capai suatu bentuk persetujuan dan persefahaman. Kami tahu jika pembangkang berpecah maka peluang untuk menumbangkan kerajaan BN akan berkurang,” katanya.

Beliau menambah PKR terbuka untuk berbincang dengan mana-mana parti yang sudi dan mencapai suatu bentuk kerjasama demi mencapai matlamat bersama.

Mengenai potensi kerusi yang boleh dimenangi gabungan pembangkang itu, Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong berkata mereka yakin boleh memenangi lebih dari 10 kerusi Parlimen, berdasarkan kepada pencapaian pada PRU 2013.

Bagi kerusi DUN pula, Stephen bagaimanapun berkata mereka masih menunggu parti pembangkang tempatan untuk tampil supaya pengagihan kerusi boleh dilakukan.

“Kita mahu satu perikatan supaya boleh ada semak dan imbang. Kita tidak mahu satu parti menguasai semua kerusi negeri. Saya fkir rakyat mengatasi sentimen tempatan atau semenanjung. Isu paling penting ialah tadbir urus yang baik dan kepercayaan rakyat,” katanya.