Najib arah bomba siasat piawaian keselamatan sekolah tahfiz

najib-ittifaqiyahKUALA LUMPUR: Kabinet mengarahkan bomba melakukan siasatan terhadap piawaian keselamatan di semua pusat tahfiz seluruh negara bagi memastikan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah baru-baru ini tidak berulang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, berdasarkan siasatan itu nanti, mana-mana pusat tahfiz yang tidak mematuhi piawaian akan diberikan tempoh meningkatkan tahap keselamatan pusat masing-masing dan jika gagal berbuat demikian, pusat berkenaan akan diarahkan tutup.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tempoh diberikan kepada pusat tahfiz untuk mematuhi piawaian ditetapkan.

“Ini soal keselamatan anak-anak kita yang tidak boleh kita kompromi dan saya setuju ini adalah ‘bom masa’ yang tidak boleh dipandang ringan.

“Ini soal nyawa anak-anak kita dan ini tanggungjawab kita, bukan soal kuasa kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri, tetapi ini soal keselamatan, kebajikan dan lebih-lebih lagi nyawa anak-anak kita,” katanya pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah peringkat kebangsaan 1439H/2017M hari ini.

Dalam kejadian 5.15 pagi 14 September lalu, 21 pelajar dan 2 guru yang bertugas sebagai warden pusat tahfiz itu terkorban, selepas terperangkap dalam kebakaran di tingkat teratas bangunan 3 tingkat tersebut.

Sabtu lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengumumkan 7 remaja berusia 11 hingga 18 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kebakaran berkenaan.

Najib berkata, peristiwa yang berlaku kepada pusat tahfiz tersebut ialah sesuatu yang amat menyedihkan dan kejadian itu masih menghantui fikirannya sehingga hari ini.

“Saya tidak dapat percaya ada remaja belasan tahun boleh merancang perbuatan jenayah yang begitu teliti sehingga menyebabkan 21 pelajar tidak berdosa maut serta 2 guru terkorban.

“Apalah dosa mereka? Takkanlah bergaduh sebab futsal boleh berlaku jenayah ini? Ini yang menghantui fikiran saya,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta beberapa menteri Kabinet.