Paparan JDT di Stamford Bridge tak perlu bayar, kata TMJ

tmj

PETALING JAYA: Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan beliau membuat pembayaran supaya ucapan tahniah kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dipancarkan di papan iklan semasa siaran langsung perlawanan Chelsea-Nottingham Forest semalam.

Sebaliknya, pemilik pasukan JDT itu berkata, ia atas dasar persahabatan dengan kelab bola sepak tersohor itu.

TMJ berkata beliau mempunyai ramai sahabat dan tidak timbul isu membayar wang.

Beliau memberi contoh bagaimana pemain JDT, Gary Steven Robat pernah dihantar berlatih secara percuma di bawah kelab Jerman, Borussia Dortmund.

“Kerana sahabat saya adalah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Pembangunan Akar Umbi Borrusia Dortmund, Edwin Boekamp,” katanya.

Menurut Tunku Ismail, JDT juga menghantar skuad remajanya ke Valencia tanpa bayaran kerana pemilik kelab, Peter Lim, merupakan sahabatnya.

“Ketika JDT mengadakan perlawanan pra-musim awal musim 2017 di Thailand, saya juga tidak mengeluarkan apa-apa duit melainkan kos kapal terbang sahaja disebabkan kawan saya, pemilik Buriram United, Newin Chidchob yang telah menjaga makan minum termasuk hotel penginapan kami semua,” katanya menerusi Facebook JDT.

JDT baru-baru ini muncul juara Liga Super 2017, dan awal pagi semalam ketika perlawanan Chelsea menentang Nottingham Forest, papan tanda di stadium memaparkan ucapan tahniah kepada JDT berserta promosi pelancongan Johor.

TMJ berkata banyak perkara dapat dilakukan dengan wang, juga tanpa wang.

“Inilah pendidikan yang ingin saya kongsikan kepada orang ramai yang saya hormati sekalian.

“Sebelum kita buka mulut, kita fikir dahulu. Tidak semua perkara perlu duit atau mungkin mereka yang selalu mengatakan perkara sebegini adalah mereka yang sudah selalu terima ‘dedak’ politik,” katanya.

Beliau turut menempelak pihak yang tidak berpuas hati dengan kejayaan JDT yang menjuarai Liga Super 4 tahun berturut-turut.

“Seperti biasa muncul suara yang belum ada lesen cuba cari punca yang menonjolkan kebodohan sendiri yang berasa tidak puas hati,” katanya.