Pelabuhan Malaysia masih kompetitif, walau syarikat besar pindah ke Singapura’

port-klangPETALING JAYA: Pelabuhan di Malaysia kekal berdaya saing, walaupun 5 syarikat perkapalan utama dunia di bawah Ocean Alliance memindahkan operasi mereka dari Pelabuhan Klang ke Singapura, April lalu, kata menteri pengangkutan.

Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dipetik Malay Mail Online berkata, langkah itu hanya akan mendatangkan “kesan jangka pendek” dan Pelabuhan Klang berpotensi tampil sebagai alternatif lebih menarik pada masa depan.

Katanya, keadaan di Singapura menjadi mencabar untuk syarikat perkapalan disebabkan 2 daripada 3 pakatan perkapalan menjadikan negara itu pangkalan mereka.

“Ia lebih masuk akal untuk setiap pakatan itu menempatkan hab di pelabuhan berbeza supaya ia boleh bersaing menggunakan kekuatan rantaian bekalannya.

“Tetapi, sekarang mereka bersaing dalam sebuah hab di pelabuhan sama tanpa mendapat sebarang kelebihan strategik.

“Apabila syarikat perkapalan bersaing antara satu sama lain di Singapura, Pelabuhan Klang berpotensi menjadi hab alternatif menarik pada masa depan. Ia adalah peluang emas untuk syarikat perkapalan,” katanya pada mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan ke-3 di Putrajaya, semalam.

Isnin lalu, FMT melaporkan situasi di Pelabuhan Klang yang lengang daripada kebiasaannya membimbangkan beberapa pemain industri kerana kebiasaannya, kontena yang disusun di Pelabuhan Klang boleh mencapai sehingga 6 tingkat, namun kini hanya tinggal kira-kira 4 tingkat, malah ada ruang yang kosong.

Prestasi Pelabuhan Klang diburukkan lagi dengan kelemahan dari segi etika kerja kerana cuti umum yang banyak di Malaysia, selain kadar tarif dan tempoh transit 2 hari lebih panjang berbanding Singapura.

Akhbar Singapura, The Straits Times baru-baru ini melaporkan beberapa syarikat perkapalan besar yang beroperasi di Pelabuhan Klang berpindah ke negara itu dan mengadakan perjanjian pakatan perkapalan baharu.

Pelabuhan Klang mengalami impak besar daripada perjanjian pakatan baharu itu yang disertai syarikat perkapalan gergasi United Arab Shipping Company (UASC), kumpulan perkapalan Perancis, CMA-CGM dan Cosco Shipping milik kerajaan China.

Pelabuhan Klang dijangka berdepan kemerosotan dari segi pengendalian dan pemunggahan kontena sehingga 2 juta TEU (unit bersamaan kontena 20 kaki) setiap tahun.

Memetik data Northport dan Westport, Straits Times Singapura melaporkan pemunggahan kargo jatuh 8.4% pada suku ke-2 tahun ini kepada 3 juta TEU, selepas perkembangan suku pertama pada 0.9%.

 

Peniaga bimbang Pelabuhan Klang tidak sesibuk dahulu

Pelabuhan Malaysia berdepan masalah di sebalik saingan Singapura

Laporan: Perniagaan Pelabuhan Klang merosot, syarikat besar pindah ke Singapura