Premis baharu Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah beroperasi tahun depan

Mohd-Zahid-Mahmood

KUALA LUMPUR: Premis baharu pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang sebelum ini dijadual beroperasi Oktober ini ditangguhkan dan hanya akan digunakan awal tahun depan.

Pengetuanya Mohd Zahid Mahmood berkata penangguhan itu berikutan pelaksanaan kerja penambahbaikan yang perlu mematuhi beberapa ciri keselamatan seperti ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Semalam ketika bomba melakukan pemeriksaan, mereka menyuruh kami membuat beberapa ubah suai dan penambahbaikan antaranya memasang penyedut asap dan loceng kecemasan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya proses berkenaan akan mengambil masa beberapa bulan, sebelum semua pelajar meneruskan aktiviti pembelajaran di bangunan baharu.

Beliau berkata pihaknya akan mencari tempat baharu di lokasi berhampiran pusat tahfiz yang terbakar sebagai pusat pengajian sementara supaya para pelajar yang bercuti dapat meneruskan pembelajaran secepat mungkin.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan berjumpa dengan semua ibu bapa pelajar dalam masa terdekat bagi menjelaskan situasi sebenar.

“Kami akan bersemuka dengan mereka (ibu bapa) kerana tidak mahu ada pihak ke-3 mengeruhkan keadaan.

Sumbangan yang kami peroleh akan dipulangkan kepada keluarga mangsa dan hanya sebilangan kecil sahaja akan digunakan untuk membaiki kerosakan pusat tahfiz yang terbakar ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati orang ramai masih lagi mengunjungi lokasi kejadian untuk merakamkan gambar dan menghulurkan sumbangan.

Seramai 21 pelajar dan 2 guru yang bertugas sebagai warden pusat tahfiz itu terkorban apabila asrama yang terletak di tingkat 3 terbakar pada 5.15 pagi, Khamis lepas.