Seleweng dana: Ketua eksekutif dan 2 lagi dibebaskan

macc-arrest-jailPUTRAJAYA: Ketua eksekutif sebuah perbadanan bergelar Datuk dan 2 individu lain yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM40 juta, dibebaskan hari ini.

Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor memerintahkan ketua eksekutif berumur 58 tahun dan setiausaha perbadanan berumur 34 tahun itu, dibebaskan dengan jaminan RM100,000 serta 2 penjamin.

Seorang lagi, iaitu pengarah syarikat berumur 38 tahun dibebaskan dengan jaminan tunai RM28,000 dan 2 penjamin.

Pada 13 September lalu, SPRM menahan 4 individu bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM40 juta yang disalurkan kepada sebuah perbadanan kemahiran bagi tujuan program latihan kemahiran, khusus untuk mereka yang tiada pekerjaan.

Sebelum ini, media melaporkan keempat-empat suspek didakwa menyeleweng RM25 juta pada tahun ini dan RM15 juta lagi tahun lalu.