Ideas syor Mara Digital Mall dibuka kepada bukan Bumiputera

Adli-Amirullah_ideas_mara-mall_600

PETALING JAYA: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) mengesyorkan Mara Digital Mall dibuka kepada peniaga-peniaga bukan Bumiputera untuk “mendorong” Bumiputera menjadi usahawan yang lebih baik susulan laporan bahawa bisnes di pusat tersebut mula merosot.

Pakar ekonomi Ideas, Adli Amirullah berkata kehadiran peniaga-peniaga bukan Bumiputera di Mara Digital Mall akan mewujudkan persaingan sihat dan menggalakkan kaum Bumiputera melangkah keluar dari zon selesa.

“Ini akan meningkatkan produktiviti mereka dan meningkatkan kualiti mereka dari segi perniagaan dan akan memberi manfaat kepada Bumiputera dalam jangka panjang.”

Mara Digital Mall yang juga dikenali sebagai “Low Yat 2” dilancarkan pada 8 Disember 2015 berikutan insiden di Low Yat Plaza pada Julai tahun itu apabila seorang pemuda Melayu mencuri telefon pintar bernilai RM800 dari salah sebuah kedai pusat membeli-belah itu.

Insiden itu dijadikan oleh sesetengah pihak sebagai bersifat perkauman, sekali gus membawa kepada idea agar diwujudkan pusat membeli-belah berasingan yang membenarkan orang ramai, terutama orang Melayu, membeli daripada peniaga-peniaga Bumiputera dan bukannya perniagaan milik Cina di Low Yat Plaza.

Oleh itu Mara Digital Mall khusus untuk usahawan Bumiputera dan bertujuan untuk membantu mereka dalam memecah pasaran runcit teknologi komunikasi (ICT) dibuka.

Bagaimanapun menurut Adli, bukan kesemua bukan Bumiputera yang mendapat manfaat daripada Low Yat Plaza kerana ada yang tidak mempunyai peluang untuk memulakan perniagaan di sana kerana ia begitu kompetitif.

“Itulah sebabnya kerajaan perlu perlahan-lahan membuka Mara Digital Mall kepada bukan Bumiputera. Memberi peluang yang saksama kepada semua rakyat Malaysia adalah lebih penting daripada hanya memberi peluang kepada kaum tertentu,” kata beliau.

Adli turut mengkritik dasar kesemua peniaga Bumiputera di Mara Digital Mall terpaksa mendapatkan inventori daripada seorang pembekal tunggal.

“Itulah cara yang tidak masuk akal untuk mereka menjalankan perniagaan. Ia adalah asas ekonomi. Bekalan terhad akan mendorong kenaikan harga.

“Jika para peniaga tidak mempunyai kebebasan untuk memilih pembekal mereka sendiri, tidak akan ada banyak ruang untuk memaksimumkan keuntungan.

“Apabila anda mempunyai 1 pembekal, peniaga tidak mempunyai pilihan selain untuk menjual barangan mereka di atas harga yang kompetitif untuk menampung margin keuntungan mereka.”

Beliau menambah, penyelesaian kerajaan menimbulkan masalah yang baharu seperti mempromosikan keusahawanan tidak dicapai dengan campur tangan di pasaran.

“Memiliki hanya 1 pembekal, peniaga di Mara Digital Mall akan kehilangan pedagang lain di luar pusat membeli-belah yang bebas memilih pembekal yang berbeza dan boleh bermain-main dengan margin keuntungan.

“Kerajaan boleh memutuskan apa yang difikirkannya terbaik untuk pasaran, tetapi pasaran boleh melakukan ini dengan lebih cekap dan dengan campur tangan yang kurang,” kata Adli.

Menurut Adli, pada akhirnya usahawan Bumiputera tidak akan merasai galakan untuk melabur dalam sektor ICT, di mana ia bertentangan dengan apa yang kerajaan sebenarnya inginkan.

Jika kerajaan benar-benar mahu Mara Digital Mall diselamatkan, beliau berkata, ia sepatutnya berhenti mengganggu operasi di pusat itu.

“Persaingan pasaran perlu sihat supaya ia berfungsi dengan baik. Kerajaan hanya boleh masuk campur apabila terdapat kegagalan pasaran, tetapi mereka tidak boleh menentukan apa yang baik dan apa yang buruk bagi pasaran,” kata Adli.

Artikel The Malaysian Reserve semalam melaporkan Mara Digital Mall sedang berhadapan dengan isu penurunan jualan dan bilangan pelanggan.

Beberapa peniaga dipetik artikel itu menyebut ia disebabkan oleh kekurangan pelbagai produk, harga tidak kompetitif dan publisiti yang sedikit.

Adli berkata satu-satunya cara ke hadapan adalah dengan mewujudkan persaingan sihat dengan membenarkan peruncit bukan Bumiputera beroperasi di pusat membeli-belah itu.

Peniaga juga harus dibenarkan mendapatkan inventori mereka dari pembekal yang pelbagai, katanya.

2 tahun berlalu, Mara Digital Mall mula hilang pelanggan