Koperasi Angkasa tawar kendali KR1M 2.0

Abdul-Fattah-Abdullah_kr1m_600

PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) hari ini menawarkan diri untuk mengendalikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) selepas kontrak pengendali skim rangkaian kedai runcit itu ditamatkan.

Presiden Datuk Abdul Fattah Abdullah bagaimanapun berkata Angkasa tidak mahu mengendalikan KR1M “versi lama” yang tidak efektif dari segi kos premis, lokasi dan kebolehcapaian pengguna.

“Kita nak versi 2.0 sebab yang asal kalau kita ambil premis itu ada hutang dan tak strategik. Kita lebih suka menggunakan kira-kira 5,000 kedai yang dimiliki oleh koperasi seperti koperasi sekolah, Felda, Felcra dan kariah masjid. Semua kedai runcit ini dipunyai oleh koperasi,” katanya ketika dihubungi FMT.

Fattah berkata sekiranya Angkasa diberi peluang, mereka akan menggunakan kedai kepunyaan koperasi sedia ada untuk menjual produk KR1M, dengan akses kepada produk koperasi.

“Itu kekuatan koperasi,” katanya.

Didaftarkan pada 1971, Angkasa adalah koperasi puncak yang menaungi semua jenis koperasi asas, menengah dan atasan di seluruh negara. Angkasa memiliki struktur dan prasarana yang menyokong 9134 koperasi dalam pelbagai kegiatan seperti pertanian, perikanan, perusahaan, sekolah dan institusi pengajian tinggi, pekerja kilang dan kredit.

Francais KR1M bertujuan untuk membantu meringankan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah dengan menawarkan barangan pada harga murah.

Pada 29 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menamatkan kontrak syarikat pengendali KR1M yang dilaporkan menjual produk jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.

Ini kerana kerajaan memberikan peruntukan kepada syarikat pengendali itu untuk menjual produk di bawah harga pasaran.

Susulan itu, syarikat Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) mendakwa ia mengalami kerugian besar mengendalikan KR1M yang merupakan projek tanggungjawab sosial korporatnya (CSR).

Terbaharu, semua premis perniagaan KR1M ditutup sementara dan Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata penutupan itu persediaan kepada pelaksanaan KR1M 2.0, di samping bagi tujuan penambahbaikan.