Malaysia negara Islam? Bekas SUK Sabah sokong pendirian Rahim Noor

simon

KOTA KINABALU: Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Simon Sipaun menyokong pandangan bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor bahawa Malaysia tidak bercadang untuk menjadi negara Islam, malah Sabah dan Sarawak juga tidak akan bersetuju dengan pelan seumpama itu.

Kata beliau, Rahim yang merupakan ketua polis negara dari 1994 hingga 1999 bercakap benar apabila beliau menegaskan Malaysia boleh kehilangan negeri-negeri Borneo sekiranya konflik agama tidak dapat dielakkan kerana kerajaan persekutuan begitu tunduk kepada tekanan dan menjadi terlalu Islam.

“Rahim membuat pandangan betul (ketika bercakap) pada ceramah (yang diadakan di Kota Kinabalu). Saya masih ingat apabila Malaysia dibentuk, matlamat asalnya bukan untuk menjadikannya negara Islam,” kata beliau kepada FMT.

Simon, pengasas NGO antirasuah C4 berkata, jaminan itu jelas dan bahkan dizahirkan atas batu sumpah Keningau, yang ditulis dengan ikrar bersempena dengan keputusan Sabah untuk membentuk Malaysia bersama-sama dengan Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada tahun 1963.

Singapura meninggalkan Malaysia 2 tahun kemudian.

Selasa lalu, Rahim dalam forum bertajuk “Masa Depan Malaysia” memberitahu apabila gagasan mengenai Malaysia dicetuskan, agama adalah isu utama yang ditangani oleh Suruhanjaya Cobbold, yang ditubuhkan pada Januari 1962 untuk menentukan sama ada rakyat Sabah (kemudian Borneo Utara) dan Sarawak menyokong pembentukan persekutuan Malaysia.

“Mereka di negeri-negeri Borneo, semuanya, tanpa mengira bangsa dan agama, tidak mahu agama rasmi untuk persekutuan yang baharu. Permintaan itu munasabah,” kata beliau dengan menyatakan keprihatinan terhadap Putrajaya dalam tekanan dan menjadi terlalu Islam.

“Sekiranya kita terus turun ke bawah, ia akan menjejaskan kestabilan persekutuan dan pada masa itu, Sabah dan Sarawak akan berfikir semula sama ada mereka mahu terus berada di Malaysia atau sama ada mereka mahu keluar,” kata beliau.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Sabah Mohd Aminuddin Aling dilaporkan berkata kenyataan Rahim berbahaya kerana ia boleh menyebabkan sesetengah orang mahu Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.

Simon yang bertindak sebagai moderator forum itu memberitahu, Rahim menyatakan kebimbangan beliau terhadap peningkatan pemolitikan agama, dengan pemerintah kini memerintah agama ketika perkara itu menjadi urusan peribadi.

Katanya, Rahim tidak mempunyai niat jahat terhadap agama beliau sendiri.

“Saya ada di sana. Saya mendengar apa yang beliau katakan. Kami bercakap sehingga sangat lewat malam. Rahim menentang undang-undang hudud (undang-undang jenayah Islam) kerana digerakkan oleh PAS. Tetapi (apakah beliau) mencetuskan konflik di Sabah? Sudah pasti tidak,” kata beliau.

Beliau berkata, Rahim adalah seorang pegawai kanan kerajaan yang telah bersara dan bukan seorang ahli politik.

Beliau percaya PAS telah kehilangan populariti di kalangan pengundi di Sabah dan oleh itu, parti tersebut mungkin mahu memanfaatkan kenyataan Rahim untuk kekal relevan di Sabah.

“Walaupun Sabah dan Sarawak mahu keluar dari Malaysia, bagaimana kita boleh melakukannya? Kami telah masuk, mengunci diri dan memasukkan kunci. Kita tidak boleh keluar. Saya tidak tahu bagaimana Singapura melakukannya tetapi sekurang-kurangnya mereka cukup kuat. Kami tidak,” katanya.